CGS-CIMB naikkan saranan MAHB, kekalkan ‘underweight’ bagi sektor penerbangan

CGS-CIMB naikkan saranan MAHB, kekalkan ‘underweight’ bagi sektor penerbangan

KUALA LUMPUR,. CGS-CIMB Research meningkatkan saranannya terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada ‘tambah’ berbanding ‘pegang.’

Menurutnya, ini berdasarkan pandangan bahawa penyusutan ketara harga saham pengendali lapangan terbang itu merupakan reaksi yang keterlaluan berbanding cabaran dihadapi syarikat itu pada masa ini.

“Harga saham-saham MAHB telah susut kepada diskaun (potongan) 35 peratus berdasarkan penilaian berasaskan aliran tunai diskaun (DCF). Pada pandangan kami, ini adalah reaksi yang keterlaluan terhadap berita buruk membabitkan perintah kawalan pergerakan baharu serta kemungkinan dua syarikat penerbangan yang juga pelanggannya, akan menamatkan operasi.

“Harga sasaran kami adalah RM5.14 yang ditetapkan pada diskaun 20 peratus bagi prosedur operasi standard (SOP) yang pada pandangan kami, adalah memadai untuk menampung kemungkinan penghapusan hutang lapuk sebanyak tiga kali,” kata firma penyelidikan itu menerusi nota penyelidikan hari ini.

Setakat 10.28 pagi ini, harga saham-saham MAHB di Bursa Malaysia tidak berubah pada RM4.20 dengan sejumlah 63,400 saham saling berpindah tangan.

CGS-CIMB berkata potensi pemangkin penarafan semula bagi MAHB termasuk penambahbaikan perjanjian operasi dengan kerajaan Malaysia yang dijangka dimeterai menjelang akhir tahun ini.

“Perjanjian itu berkemungkinan membantu MAHB mengurangkan bayaran fi pengguna. Di Turki, kami menjangkakan usaha penyusunan semula hutang akan berjaya berikutan pemulihan aliran pergerakan penumpang yang kukuh,” katanya.

Selain itu, secara keseluruhannya, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘underweight’ terhadap sektor penerbangan berikutan laluan pemulihannya yang dijangkakan memakan masa lebih lama.

Menurutnya, potensi pemangkin penurunan penarafan itu berkemungkinan membabitkan kelembapan pemulihan perjalanan udara penumpang antarabangsa berikutan perkembangan bahawa vaksin COVID-19 hanya akan ditawarkan pada pertengahan 2021.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan hanya 26 peratus daripada penduduk dunia dijangka mendapat vaksinasi tersebut menjelang akhir 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )