
CEO dan Pengerusi Able Global Dibebaskan Dari Tahanan Reman SPRM
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Able Global Bhd (Able Global) mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Edward Goh Swee Wang, dan Pengerusi, Ng Keng Hoe, telah dibebaskan daripada tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu menjelaskan bahawa Goh dan Ng, yang juga memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif, ditahan untuk membantu siasatan berkaitan aktiviti perniagaan syarikat persendirian milik Ng.
“Kami ingin menegaskan bahawa siasatan ini tidak melibatkan Able Global secara langsung. Oleh itu, syarikat tidak akan memberikan sebarang komen lanjut mengenai siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan tersebut.
Able Global turut memaklumkan bahawa Goh telah kembali bertugas sebagai CEO, dan operasi syarikat kini berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan. Syarikat itu menegaskan komitmennya terhadap ketelusan dan pematuhan standard tadbir urus korporat yang tinggi.
Pada penutupan dagangan Isnin di Bursa Malaysia, saham Able Global kekal pada RM1.51, dengan jumlah dagangan sebanyak 1.28 juta unit.