Cadangan tubuh JPKK,JPKKP dibawa ke Jemaah Menteri – Zahid

Cadangan tubuh JPKK,JPKKP dibawa ke Jemaah Menteri – Zahid

KUALA LUMPUR,. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan membentangkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) pada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata keanggotaan ahli JPKK dan JPKKP yang dibentuk perlu mengambil kira komposisi parti komponen Kerajaan Perpaduan sebagai menyokong prinsip sealiran dalam kerajaan kini.

“Bagi negeri yang sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, JPKK akan ditubuhkan, manakala bagi negeri-negeri yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan adalah dicadangkan supaya ditubuhkan JPKKP.

“Saya sendiri akan membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri dengan kadar segera,” katanya pada ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini semalam.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut meminta semua ahli UMNO di peringkat akar umbi agar menyusun dan mempersiapkan cadangan keanggotaan JPKK dan JPKKP bagi mempercepatkan proses pelantikan selepas ia mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Beliau berkata perbincangan membentuk keanggotaan tersebut perlu dibuat segera bersama rakan daripada parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat akar umbi, bagi menterjemahkan perpaduan dalam kerajaan kini.

Semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada perhimpunan itu, beberapa perwakilan menyentuh berkenaan pelantikan JPKK dan JPKKP bagi mengurus tadbir serta melaksanakan program pembangunan kampung.

Pada ucapan penangguhan itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan hanya satu ketua kampung dilantik bagi setiap kampung dan meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO membantu ketua bahagian menyelesaikan perkara tersebut.

“Saya tidak mahu tiga ketua kampung dalam satu kampung. Hanya satu ketua kampung untuk satu kampung. Oleh itu, saya minta supaya mereka dalam Majlis Tertinggi bantu ketua bahagian (menguruskannya),” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )