Cadang wujud institusi A. Samad Ismail, martabat profesion kewartawanan negara

Cadang wujud institusi A. Samad Ismail, martabat profesion kewartawanan negara

SHAH ALAM,. Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mencadangkan satu institusi bebas atau Kursi Pengajian Kewartawanan A. Samad Ismail ditubuhkan sebagai usaha memartabatkan profesion wartawan dalam negara ini.

Musa berkata selain meningkatkan kualiti bidang itu, cadangan tersebut juga antara lain bagi memperingati jasa dan sumbangan Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail yang merupakan tokoh kewartawanan disegani serta pejuang negara.

“Ada cadangan supaya satu institut yang boleh kita tubuhkan sebagai mengingati A. Samad Ismail. Ia mungkin boleh diwujudkan di universiti terkemuka dalam negara ataupun mungkin kita tubuhkan satu institut yang bebas.

“(Cadangan penubuhan) institut itu boleh kita gunakan untuk mengenang (jasa A. Samad Ismail) dan lebih penting lagi sebagai cara memperbaiki profesion kewartawanan dalam negara ini (dengan itu) akan dapat dipertingkatkan kebolehannya,” katanya dalam ucapan perasmian sempena Simposium Memperingati Tan Sri A. Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini hari ini.

Menurutnya pada ketika ini negara amat memerlukan tokoh wartawan berkualiti yang bertanggungjawab dan amanah selain tidak mengutamakan habuan wang ringgit.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar bersetuju dengan cadangan yang dibangkitkan oleh Musa bahawa terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah sekolah, institusi atau kursi kewartawanan A. Samad Ismail.

“Apapun yang diputuskan pada penghujung simposium ini, (insya-Allah) ia akan mengekalkan legasi beliau sebagai wartawan, cendekiawan dan negarawan,” katanya dalam ucaptama bertajuk ‘Mencari A. Samad Ismail’.

Turut senada dengan cadangan itu, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang mencadangkan antaranya menamakan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM sebagai Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media A. Samad Ismail.

Ahmad Murad dalam ucaptama yang bertajuk ‘Merentasi Sejarah Tiga Negara: A. Samad Ismail sebagai Wartawan, Cendikiawan Awam dan Negarawan’, turut mencadangkan agar nama tokoh itu diabadikan sebagai nama jalan di Kuala Lumpur atau di bandar besar di Malaysia serta mewujudkan memorial, galeri atau perpustakaan A Samad Ismail di satu tempat yang sesuai.

Simposium sehari yang dihadiri kira-kira 150 tetamu dan dianjurkan dengan kerjasama FKPM-UiTM serta ISTAC-UIAM itu, bertujuan membincangkan pemikiran dan sumbangan tokoh kewartawanan negara berkenaan dalam konteks sosiopolitik Malaysia.

Program itu turut menampilkan kartunis tersohor negara Datuk Mohamad Nor Khalid atau Datuk Lat, yang berkongsi pelbagai perspektif mengenai A. Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.

Turut berkongsi pandangan sembilan pembentang lain terdiri daripada ilmuan, pengamal media dan penulis yang berpengalaman bekerjasama dengan A. Samad Ismail sepanjang hayatnya, termasuk Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang juga bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong, yang mengakui telah mencontohi pendekatan tidak formal Pak Samad dalam membimbing wartawan muda.

“Walaupun Pak Samad merupakan tokoh penting dalam dunia kewartawanan dan pejuang nasionalisme di Nusantara, beliau sangat mudah didekati, selalunya dalam cara yang sangat tidak formal.

“Dalam bilik berita, bimbingan dan kepimpinan secara tidak formal memainkan peranan penting untuk memupuk pembangunan, kerjasama dan komunikasi yang berkesan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Menghargai Reputasi dan karya A. Samad Ismail’.

Sementara itu, Dekan FKPM Prof Madya Dr Abd Rasid Abd Rahman pula berkata penganjuran wacana ilmu seperti simposium ini adalah sebahagian daripada fungsi fakulti dalam konteks memaklumkan khalayak dan memberikan saranan ilmu kepada massa secara berterusan, ilmiah dan berautoriti.

“Dalam menyorot latar kewartawanan tempatan, nama seperti Abdul Rahim Kajai, Ahmad Boestamam dan A. Samad Ismail perlu diberi penghargaan negara atas segala jasa bakti mereka. Kemelut zaman yang penuh pancaroba telah dilalui oleh mereka dengan tabah yang menyalakan obor perjuangan bangsa melalui tinta pena,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )