Cacat penglihatan bukan halangan Nurul Najwa Khairunissah genggam ijazah

Cacat penglihatan bukan halangan Nurul Najwa Khairunissah genggam ijazah

SERDANG,. Cacat penglihatan sejak dilahirkan bukan penghalang kepada Nurul Najwa Khairunissah Hassim untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu selepas mengikuti pengajian selama empat tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nurul Najwa Khairunissah, 28, berkata dia menyambung pengajian di UPM pada 2016 selepas memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan bersekolah di St John’s Institution di Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Anak jati Terengganu itu berkata dia amat gembira kerana penantiannya selama dua tahun untuk bergraduasi secara bersemuka selepas menamatkan pengajian pada 2020 akhirnya menjadi kenyataan.

“Saya bersyukur dan bernasib baik kerana dapat bergraduasi memandangkan masih ada universiti lain tidak dapat melaksanakan majlis seperti ini.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada UPM dalam menjayakan majlis ini walaupun kita masih dalam norma baharu,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-44 di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini pada Khamis.

Berkongsi pengalamannya mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekurangan penglihatan, Nurul Najwa Khairunissah berkata antara cabaran yang terpaksa dihadapi ialah mendapatkan bahan rujukan.

“Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, agak sukar bagi kami untuk mendapatkan bahan kerana kebanyakan bahan di sini dalam bentuk salinan cetak.

“Saya perlu menukarkan salinan cetak itu kepada salinan lembut.

“Jadi, saya memerlukan sedikit masa untuk imbas dan mendengarnya menggunakan aplikasi ‘Screen Reader’,” katanya yang turut menggunakan khidmat sukarelawan ‘Reader’ untuk membaca bahan tugasan ketika diperlukan.

Nurul Najwa Khairunissah berkata sepanjang pengajiannya di universiti itu, beliau merasakan kebajikannya terjaga.
“UPM sangat menjaga kebajikan pelajar OKU sama ada cacat penglihatan mahupun cacat fizikal.

“Sebagai contoh, universiti ini menyediakan kemudahan seperti pengangkutan untuk saya dan OKU lain dihantar ke kelas mahupun pulang ke kolej kediaman,” katanya.

Menurut Nurul Najwa Khairunissah, rakan-rakannya sentiasa mengambil berat terhadapnya manakala pensyarah pula mudah didekati.

“Jika kita tidak faham atau perlukan bantuan mereka (pensyarah), mereka sudi membantu tidak kira waktu,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )