Bukit Aman sahkan buat siasatan laporan polis oleh Najib terhadap LHDN

Bukit Aman sahkan buat siasatan laporan polis oleh Najib terhadap LHDN

KUALA LUMPUR,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menjalankan siasatan berikutan laporan polis dibuat bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata perkara berkenaan disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan semua pihak yang terlibat akan dihubungi dan dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi yang mungkin boleh menjejaskan siasatan. Pihak PDRM akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 September lepas, Najib membuat laporan polis terhadap LHDN selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan daripada ahli politik yang mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Najib mendakwa beliau mempunyai maklumat dan bukti berlaku pelanggaran kuasa mengikut Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan salah guna kuasa dan penggunaan dokumen palsu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )