
Brunei akan hentikan pengeluaran, peredaran mata wang terbesar
BANDAR SERI BEGAWAN,. Bank pusat Brunei berkata pengeluaran dan peredaran wang kertas 10,000 dolar Brunei (kira-kira US$7,334.30), mata wang dengan nilai terbesar di negara ini, akan dihentikan.
Memetik Buletin Borneo pada Khamis, agensi berita Xinhua melaporkan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) menyatakan berkuat kuasa 2 November, wang kertas 10,000 dolar Brunei tidak akan dikeluarkan lagi ke semua bank di Brunei dan kemudiannya, akan ditarik dari peredaran.
“Bagaimanapun, wang kertas 10,000 dolar Brunei akan tetap sah dan akan mengekalkan nilai mukanya,” kata AMBD dalam satu kenyataan.
“Keputusan untuk menarik balik wang kertas itu adalah salah satu langkah oleh AMBD untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pemalsuan wang kertas dengan nilai tinggi,” tambah AMBD.
AMBD juga menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pelbagai kaedah pembayaran alternatif yang terdapat di Brunei seperti kad debit atau kredit dan pembayaran dalam talian untuk transaksi bernilai tinggi.
— BERNAMA
MENARIK