Boleh dikompaun jika berada di premis perniagaan lebih dua jam

Boleh dikompaun jika berada di premis perniagaan lebih dua jam

KUALA LUMPUR,. Pelanggan yang berada di premis perniagaan melebihi had masa dua jam akan dikompaun sekiranya diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihak penguat kuasa akan membuat pemantauan di premis-premis perniagaan di seluruh negara selaras pelaksanaan Ops Had 2J yang dilancarkan Rabu lepas.

“Kita periksa (aplikasi) MySejahtera mereka dan berharap dengan cara itu sekurang-kurangnya dengan omnipresence (kehadiran) pegawai penguat kuasa KPDNHEP memberi kesedaran kepada pengguna mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

“Pegawai penguat kuasa kita akan membuat pemantauan secara rawak sama ada dengan memakai uniform dan tidak beruniform (pakaian biasa) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ‘walkabout’ pemantauan Ops Had 2J di sebuah pusat beli-belah di ibu kota semalam.

Alexander berkata setakat ini, tiada kompaun dikeluarkan terhadap orang ramai atas kesalahan berada di premis perniagaan melebihi had masa ditetapkan.

Beliau berkata pihak pengurusan premis atau kompleks beli-belah dan pelanggan perlu memberikan kerjasama dalam memastikan SOP dipatuhi setiap masa dan seterusnya menyumbang kepada usaha membendung penyebaran COVID-19.

Turut hadir Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City Sdn Bhd Antony Patrick Barragry.

Sebelum ini, Alexander telah mengumumkan tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam. Ia antara SOP yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat.

Sebanyak 144 kompleks perniagaan di seluruh negara diperiksa pegawai penguat kuasa KPDNHEP setakat semalam. Pemeriksaan pada 26 dan 27 Mei itu tertumpu kepada kompleks perniagaan yang besar dan berpotensi menjadi tempat tumpuan orang ramai serta pelanggan berpotensi melebihi had masa itu.

Beliau berkata penguatkuasaan Ops ini akan diteruskan termasuk ke premis-premis lain seperti pasar, premis runcit dan kedai serbaneka untuk memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam pelaksanaan PKP 3.0.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )