BN setuju tema manifesto ‘Kestabilan dan Kemakmuran’

BN setuju tema manifesto ‘Kestabilan dan Kemakmuran’

KUALA LUMPUR,. Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju tema utama manifesto gabungan politik itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ialah ‘Kestabilan Dan Kemakmuran.’

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung di Menara Dato Onn’ di sini malam tadi.

“BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi bersifat prorakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mampan dan menyeluruh,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata perundingan pembahagian kerusi antara parti komponen dan Sahabat BN akan dimuktamad.
“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha untuk mengetengahkan calon baharu yang mempunyai nilai boleh menang, boleh diterima dan disenangi serta berazam untuk mencapai 30 peratus calon wanita,” katanya.

Zambry berkata selain itu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengarahkan semua jentera parti bagi membuat persiapan bagi menghadapi PRU15 di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dewan Tertinggi BN mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU15 dan mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Beliau juga berkata BN menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen ke-14 selaras dengan kuasa-kuasa Seri Paduka sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 dan susulan itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )