BN sambut kemenangan di Kimanis dengan sorakan dan air mata

BN sambut kemenangan di Kimanis dengan sorakan dan air mata

PETALING JAYA: Pemimpin Barisan Nasional (BN) menyambut kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis dengan sorakan dan air mata kegembiraan malam ini.

Bekas menteri pusat Abdul Rahman Dahlan berkata, beliau dan pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin mengeluarkan air mata apabila mengetahui calon BN Mohamad Alamin berjaya mengalahkan calon Warisan Karim Bujang hari ini.

“Ya, saya dan Bung menangis. Sepanjang 9 bulan lepas, Umno Sabah hampir musnah,” katanya di Twitter, merujuk kepada nasib parti itu berikutan pilhan raya umum Mei 2018.

“Tiada siapa beri kami peluang dalam pilihan raya kecil Kimanis,” katanya.

“Kemenangan hari ini sangat manis.”

Bekas perdana menteri Najib Razak mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Kimanis atas kemenangan BN, sekali gus mengucap tahniah kepada Umno Sabah.

Beliau juga menyindir penasihat DAP Lim Kit Siang, yang pada Mei menyifatkan kemenangan DAP dalam PRK Sandakan sebagai “pukulan maut” terhadap “Bossku” (panggilan popular ang digunakan oleh Najib semasa sesi bertemu rakyatnya).

“Kimanis apa cerita?”, soal Najib di Facebook, dalam satu hantaran yang disertakan dengan keratan akhbar yang menampilkan kenyataan Kit Siang.

Presiden MCA Wee Ka Siong merupakan pemimpin BN pertama mengucap tahniah.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Mohamad Alamin dengan berkata, kemenangan hari ini adalah dengan majoriti belih besar berbanding semasa pilihan raya umum 2018.

Beliau berkata, kemenangan di Kimanis merupakan kemenangan kelima berturut-turut untuk BN sejak Mei 2018.

Katanya, ia menunjukkan rakyat bosan dan tidak gembira dengan kerajaan PH di Putrajaya dan kerajaan negeri diketuai Warisan di Sabah.

BN menang dalam PRK di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan tanjung Piai sebelum ini.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )