BN perlu bersedia hadapi PRU15 sebagai pembangkang – Saravanan

BN perlu bersedia hadapi PRU15 sebagai pembangkang – Saravanan

KLANG,. Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pembangkang jika UMNO kekal dengan hasrat untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata ini kerana parti komponen BN termasuk MIC tidak mempunyai sebarang pengalaman menghadapi PRU sebagai blok pembangkang.

“Mungkin kita tidak dibenarkan berkempen di dalam dewan pada PRU nanti. Adakah kita bersedia? Kita perlu kaji semua kemungkinan yang akan kita hadapi sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pergerakan Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Ditanya mengenai kemungkinan MIC akan meninggalkan BN, Saravanan berkata parti itu akan hanya membuat keputusan selepas mendengar suara perwakilan.

Terserah kepada perwakilan untuk membuat keputusan sama ada bersama dengan pendirian UMNO iaitu putuskan kerjasama dengan Bersatu atau membuat pendirian sendiri pada PRU15, katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada konvensyen berkenaan, Saravanan berkata parti politik di negara ini perlu mendengar aspirasi rakyat dan bukan hanya aspirasi akar umbi sesuatu parti.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata MIC kalah di kebanyakan kerusi Parlimen pada PRU14 kerana tidak memberi tumpuan terhadap aspirasi rakyat, sebaliknya hanya fokus kepada aspirasi akar umbi parti sendiri.

Konvensyen itu dihadiri 800 perwakilan secara bersemuka dan maya.

Turut hadir Ketua Pemuda BN Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Asyraf memberi jaminan BN tidak akan mengabaikan MIC dan parti komponen yang lain pada PRU akan datang.

“Saya mewakili Pemuda BN memberikan jaminan bahawa sesiapa juga calon daripada MIC, kita akan sokong tanpa ragu-ragu. Malaysia milik semua termasuk Cina, India, Melayu, Kadazan dan Dusun,” katanya pada konvesyen itu.

Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata model BN merangkumi kemajmukan masyarakat berbilang kaum, yang mewujudkan kestabilan negara dan menjamin rakyat hidup dengan harmoni serta hormat menghormati, tanpa mengira agama mahupun kaum.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )