BN mengalu-alukan penyertaan semula Salleh ke dalam UMNO – Annuar Musa

BN mengalu-alukan penyertaan semula Salleh ke dalam UMNO – Annuar Musa

KUALA LUMPUR,. Barisan Nasional (BN) mengambil sikap terbuka dan mengalu-alukan penyertaan semula bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak ke dalam parti tersebut (UMNO).

Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya tidak mempunyai halangan tentang permohonan tersebut namun individu berkenaan perlu menjalani beberapa proses yang ditentukan pengurusan tertinggi.

“Kita memang ada menerima permohonan daripada Datuk Seri Salleh dan empat pemimpin kanan daripada Sabah, yang membuat keputusan kembali semula dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

“Parti politik ini milik orang ramai, kami terima dengan hati yang terbuka, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” katanya kepada pemberita pada program Baiti [email protected] Persekutuan di sini hari ini.

Salleh sebelum ini mengesahkan membuat permohonan untuk menyertai UMNO pada 26 Mei, melalui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Salleh yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia pernah memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lalu, selepas beliau bersama sebilangan besar pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti pada Disember 2018, namun membatalkan permohonan tersebut.

Sementara itu Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan lebih banyak pihak swasta bagi mendapatkan dana dan penajaan pemilikan rumah kepada golongan miskin tegar, yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Katanya, setakat ini kementerian telah menerima peruntukan daripada Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM2 juta dan menyasarkan untuk menyerahkan sehingga 60 unit kediaman PPR dan PA, kepada golongan miskin tegar yang berkelayakan.

Terdahulu, Annuar membuat lawatan ke PPR Kampung Muhibbah dan menyerahkan surat pemilikan rumah kepada penerima Program Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan, yang pertama untuk tahun ini, iaitu Siti Zainah Mohd Zain, 44.

Siti Zainah merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungan empat orang anak dan menghidapi penyakit kencing manis, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )