BN hormati pendirian GPS tidak sertai BN, kekal sebagai sahabat yang akrab
PONTIAN,. Barisan Nasional (BN) menghormati pendirian Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak menyertai BN sebagai parti komponen tetapi kekal sebagai “sahabat yang akrab”.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan (gambar) berkata pendirian GPS itu ada dinyatakan ketika pertemuan beliau bersama kepimpinan BN lain termasuk Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.
“Beliau (Abang Johari) ada menyatakan dalam pertemuan kami itu bahawa keputusan mereka (tiga tahun lepas) supaya parti-parti GPS ini tidak menyertai BN tetapi mereka kata mereka berkawan rapat dengan BN.
Mereka (GPS) meletakkan ‘Sarawak First’ sebagai slogan, dengan lain perkataan mereka inginkan supaya parti di Sarawak ditadbir oleh parti-parti Sarawak. Jadi kita hormati pandangan itu,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Belia Cemerlang Parlimen Pontian, di sini, semalam.
“Kita menghargai persahabatan (GPS) dan apabila kita menang nanti, BN menang…mudah-mudahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 …Semenanjung dan Sabah…sudah tentu kita akan menjemput GPS menyertai Kerajaan Malaysia apabila tiba waktunya.
Bermaksud BN+GPS, GPS bukan sebagai parti komponen BN tetapi bersama membentuk kerajaan,” kata Ahli Parlimen Pontian itu.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan seorang penganalisis politik supaya GPS dipertimbang menyertai BN untuk mengukuhkan lagi kestabilan politik dan ekonomi negara.
Semalam, seorang pensyarah dari sebuah universiti tempatan dipetik sebagai berkata hubungan mesra antara BN dan GPS perlu diterjemah dalam kerjasama politik yang rasmi bagi meneruskan kesinambungan pembangunan Sarawak secara lebih berkesan dan meluas.
Ia perlu dilakukan tanpa mengira apa sahaja keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada 18 Disember ini, kata penganalisis politik itu.
GPS dibentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) susulan kekalahan Kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menguasai Kerajaan Persekutuan.
Pada 12 Jun, 2018, empat parti tempatan Sarawak — Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS), telah mengumumkan keluar daripada BN sekali gus membentuk pakatan GPS.
BN kini terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
— BERNAMA