Bintang terakhir Juventus kembali ke Itali
MILAN,. Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain menjadi pemain terakhir Juventus kembali ke Itali awal pagi tadi ketika Serie A bersedia disambung pada 13 Jun.
Higuain tiba di Turin dengan jet peribadi selepas berhenti di Las Palmas dan terus menaiki kereta yang sudah menunggunya.
Bekas pemain Real Madrid, Chelsea dan Napoli itu kini akan menghabiskan tempoh dua minggu untuk kuarantin, lapor media tempatan.
Pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan Itali pada 19 Mac untuk bersama ibunya yang sakit di Argentina selepas ujian mengesahkan dia negatif COVID-19 walaupun tiga rakan sepasukannya diuji positif.
Bintang penyerang, Cristiano Ronaldo kembali ke Turin dari Portugal pada 4 Mei, pada hari pertama latihan individu bersambung di Itali dan terus dikuarantin.
Higuain menjadi pemain terakhir kembali selepas pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot pulang Rabu lalu. – AFP