Bin Shen bantu Flandy kendali beregu lelaki – BAM
KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan bekas pemain badminton kebangsaan Tan Bin Shen dilantik sebagai jurulatih beregu lelaki di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Asia 2006 dan juara Terbuka Australia 2009 itu dijadual memulakan tugas di ABM esok dan akan membantu ketua jurulatih dari Indonesia, Flandy Limpele.
Sementara itu, Hoon Thien How yang sebelum ini menjadi pembantu Flandy, akan bersama-sama Chan Chong Ming, bekas rakan gandingan beregu lelakinya, membimbing skuad beregu wanita.
Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata persatuan itu kini berhasrat mewujudkan hubungan lebih erat antara semua bahagian beregu pada masa akan datang supaya penglibatan mereka berjalan lancar.
“Mengetepikan kegusaran selepas terhenti agak lama disebabkan COVID-19, saya percaya akhirnya keseluruhan sistem perlu stabil dan bersiap sedia menghadapi musim 2021. Pemain lebih bersedia berbanding sebelum ini untuk menghadapi cabaran akan datang.
“Saya percaya kami telah melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan para pemain semasa waktu rehat ini dan menggunakannya bagi memantapkan fizikal mereka khususnya dari segi kardio dan otot. Dengan pemantauan jurulatih khususnya dari segi prestasi di gelanggang, ia sepatutnya menghasilkan keputusan yang positif,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Choong Hann berkata Bin Shen dipilih kerana beliau mempunyai asas yang kukuh dalam memahami kemahiran pemain serta selok-belok bidang kejurulatihan.
Melihat kepada gandingan kepakaran Flandy dan kemahiran komunikasi mendalam Bin Shen, Choong Hann percaya mereka akan saling melengkapi untuk memindahkan pengetahuan kepada pemain.
“Tujuannya ialah agar pemain merapatkan jurang dan berada setaraf dengan pemain beregu terbaik dunia. Bin Shen tiba lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan pemain memandangkan jurulatih kita akan berlepas ke Jelajah Dunia BWF HSBC Pusingan Asia di Thailand,” katanya.
— BERNAMA