Bimbang jangkitan berlaku di asrama pekerja asing

Bimbang jangkitan berlaku di asrama pekerja asing

PUTRAJAYA,. Kementerian Kesihatan meminta majikan-majikan mengambil langkah mencegah penularan wabak Covid-19 di kawasan asrama yang dihuni pekerja-pekerja dalam kalangan warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negara ini perlu mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku di Singapura apabila terdapat laporan media menyatakan terdapat peningkatan kes Covid-19 di negara jiran itu.

Beliau berkata, keadaan tersebut dikaitkan dengan penularan jangkitan di asrama pekerja yang menyumbang kepada lebih 50 peratus keseluruhan kes positif Covid-19 di republik tersebut.


“Kita mengambil iktibar daripada situasi ini dan memandangkan Malaysia juga mempunyai ramai pekerja asing, majikan perlu mengambil langkah-langkah bagi mencegah penularan Covid-19 khususnya dalam kalangan warga asing.

“Antara yang perlu dilakukan majikan adalah menjalankan pemeriksaan suhu badan dan gejala sebelum memasuki premis, menyediakan tempat mencuci tangan dan kerap melaksanakan proses pembersihan serta pembasmian kuman terutamanya di ruang guna sama,” katanya

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu, sebanyak 601 kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan bukan warga asing.

Beliau berkata, dari jumlah itu. seramai 356 orang sedang dirawat manakala 242 kes telah pulih serta terdapat tiga kematian.

Katanya, mereka yang dikesan itu terdiri daripada kumpulan pelancong, pekerja asing, golongan pelarian dan pemohon suaka.

“Antara negara tertinggi ialah Indonesia dengan 108 kes, Filipina (104 kes), Bangladesh (63 kes), India (60 kes) dan Pakistan (51 kes).

“Kita bekerjasama dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka ini mendapat pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan kerajaan.

“Kita turut bekerjasama dengan kedutaan negara-negara berkenaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha penyebaran dan penyampaian maklumat menggunakan bahasa ibunda masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )