‘Bih enji’ – Pemimpin Orang Asli kongsi pengalaman terima suntikan vaksin COVID-19

‘Bih enji’ – Pemimpin Orang Asli kongsi pengalaman terima suntikan vaksin COVID-19

JERANTUT,. ‘Bih enji’ yang bermaksud tidak sakit dalam bahasa Orang Asli suku kaum Semaq Beri antara perkataan pertama keluar daripada mulut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Isa Rasid, sebaik menerima suntikan vaksin COVID-19.

Isa, 52, yang berasal dari Kampung Paya Sedayan, Temerloh, juga berkata beliau tidak berasa loya, pening kepala atau kebas-kebas selepas suntikan itu, selain menambah jarum yang digunakan juga tidak sebesar yang dibayangkan sebelum ini.

“Biasa sahaja (selepas disuntik)… Saya harap tiada yang takut kena jarum. Saya sudah ambil vaksin dan selamat.

“Jangan percaya kalau ada orang kata vaksin tidak baik kerana kita kena ambil elak penyakit (COVID-19),” katanya kepada Bernama di sini, pada Sabtu.

Isa adalah sebahagian daripada 12 pemimpin masyarakat Orang Asli dari Temerloh dan Jerantut, terdiri daripada Tok Batin, Pengerusi JPKKOA, Pasukan Sukarelawan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) yang menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pusat Kesihatan Daerah Jerantut.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Enggang di Temerloh, Geng Nyai, 56, dari suku kaum Che Wong, berkata beliau mahu berkongsi pengalaman menerima vaksin dengan penduduk kampungnya supaya mereka ‘menerima maklumat tepat dan bukan mendengar khabar-khabar angin’.

“Proses dicucuk juga sekejap sahaja. Tak sempat panas kerusi diduduk. Doktor dan misi (jururawat) juga baik-baik.
“Kita boleh tanya banyak perkara sebelum disuntik dan lebih baik tanya pada mereka terus daripada dengar cakap orang.

“Saya sudah disuntik dan harapnya orang tidak ragu-ragu (untuk terima vaksin) selepas melihat saya okey.
“Lepas ini juga saya akan ronda-ronda jumpa mereka untuk cerita supaya jangan bimbang jika diminta datang ke klinik untuk terima suntikan,” katanya.

PePIMA Kampung Orang Asli Penderas, Shahrol Wizan Sulong, 41, juga senada dengan rakan-rakan lain apabila mengatakan ‘vaksin het-nyak’ yang membawa maksud vaksin tidak sakit dalam bahasa suku kaum Jahut.

Beliau yang mengetahui dirinya akan menjadi sebahagian daripada penerima awal vaksin bagi masyarakat Orang Asli di Pahang pada minggu lalu, menambah tidak berfikir dua kali bagi menyatakan persetujuan kerana memahami kepentingan mengambil vaksin bagi melindungi diri dan keluarganya daripada dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Pengarah JAKOA Pahang Johari Alwi berkata seramai 50 pemimpin masyarakat Orang Asli dipilih menerima vaksin lebih awal sebagai galakan kepada masyarakat Orang Asli untuk mendaftar dan menerima vaksin COVID-19, selain bagi membuktikan suntikan itu selamat.

Selain Temerloh dan Jerantut, mereka yang dipilih juga melibatkan pemimpin dan pempengaruh masyarakat Orang Asli dari Lipis dan Raub, dengan semua mereka dijadikan ‘duta’ kepada Program Orang Asli Pahang Sokong Imunisasi COVID-19 (OAPSIC-19).

“Ini ialah inisiatif kita mahu menyampaikan maklumat tepat mengenai vaksin kepada masyarakat Orang Asli dalam kaedah mudah dan dekat di hati akar umbi.

“Mereka yang menerima vaksin boleh berkongsi pengalaman dengan anak buah dalam bahasa suku kaum masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, terdapat 78,000 Orang Asli di 262 perkampungan dengan suku kaum paling ramai ialah Jakun dan Semai.

Johari berkata JAKOA Pahang juga akan mempergiatkan usaha mendaftarkan masyarakat Orang Asli sebagai penerima suntikan vaksin, khususnya di kawasan tiada liputan internet atau bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)