Bicara kes saman LHDN terhadap Nooryana Najwa ditetapkan 27 Julai

Bicara kes saman LHDN terhadap Nooryana Najwa ditetapkan 27 Julai

SHAH ALAM,. Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh perbicaraan kes saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap anak perempuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Nooryana Najwa bagi menuntut pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM10.3 juta untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan tarikh perbicaraan itu semasa prosiding pengurusan kes berkenaan hari ini.

“Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 Julai depan, pukul 10 pagi. Pihak defenden perlu menghantar semua hujahan bertulis sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

LHDN selaku plaintif memfailkan writ saman dan penyataan tuntutan pada 24 Julai tahun lalu dengan menamakan Nooryana Najwa, 32, selaku defendan.

Penyataan tuntutan LHDN menyebut bahawa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang Nyata Orang Perseorangan mengikut Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Taksiran 2011 sehingga 2017.

LHDN mendakwa sehingga kini, defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335,292.36.

Oleh itu, LHDN menuntut daripada defendan jumlah RM10,335,292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )