
Bicara kes pecah amanah RM6.6 bilion Najib, Irwan mula Jun 2024
KUALA LUMPUR,. Perbicaraan kes pecah amanah Datuk Seri Najib Razak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ditetapkan selama 30 hari bermula Jun dan Julai 2024.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon tarikh perbicaraan untuk kes itu ditetapkan pada tahun hadapan.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 4 Jun hingga 27 Jun dan 2 Julai hingga 31 Julai 2024.
“Sepanjang bulan Jun dan Julai ditetapkan untuk perbicaraan kecuali Jumaat,” kata hakim.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pendakwaan memaklumkan berkenaan status representasi yang dikemukakan Najib dan Mohd Irwan untuk menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapi mereka. Bagaimanapun perkara itu tidak dimaklumkan semasa prosiding kes itu.