BERSATU Johor sokong penuh Muhyiddin

JOHOR BAHRU,. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor memutuskan untuk menyokong sepenuhnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi parti itu.

Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Johor, Mazlan Bujang, berkata ia diputuskan pada mesyuarat khas dihadiri 20 ketua bahagian negeri di Pejabat BERSATU Johor, malam tadi.

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menyaksikan BERSATU Johor memberi sokongan penuh kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan negara.

“BERSATU Johor malam ini (malam tadi) juga mengambil ketetapan untuk menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai mantan Pengerusi BERSATU Malaysia dan Perdana Menteri ketujuh.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah sebagai Ahli Parlimen yang terhenti keahlian secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti dengan tafsiran Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Keputusan dicapai pada mesyuarat itu sekali gus melenyapkan persoalan yang pernah timbul sebelum ini mengenai arah sokongan BERSATU Johor.

Dalam pada itu, Mazlan berharap, ahli BERSATU Johor terus kekal setia dan memperkukuhkan bahagian masing-masing demi kelangsungan parti berkenaan.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )