Berjaya ubah imej pasar borong, tangani isu gelandangan

Berjaya ubah imej pasar borong, tangani isu gelandangan

KUALA LUMPUR,. Kejayaan mengubah imej Pasar Borong Selayang dan menangani isu gelandangan, adalah antara pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan dalam tempoh 100 hari bawah teraju kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata pencapaian membantu warga Wilayah Persekutuan itu bukan hasil usaha beliau seorang tetapi turut berbekalkan komitmen pegawai kementerian yang mudah bekerjasama.

Katanya, beliau juga menggunakan hati nurani untuk mendekati golongan sasaran dan menyelami masalah, sekali gus mencari jalan penyelesaian.

Beliau berkata, fokus pentadbiran bawah PN ialah menjadi kerajaan yang prihatin dan cakna kepada keseluruhan rakyat.

“Secara jujur, saya tiada rahsia. Saya diamanahkan untuk menjaga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Saya adalah Menteri kecil berbanding portfolio lain.

“Saya berbincang dengan pegawai dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta melaksanakan program yang dekat dengan gelandangan seperti berbuka puasa dan beraya dengan golongan itu untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

“Daripada itu, kementerian merangka penyelesaian dan melihat apa perkara yang mendesak serta perlu didahulukan. Saya turun padang menyaksikan keadaan pasar borong dan merasakan situ seperti berada di Cox’s Bazar (Bangladesh), Karala atau Acheh berikutan operasinya dimonopoli oleh warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Segmen Kabor Chini, Muafakat demi Kestabilan yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online, malam tadi.

Justeru, Annuar menegaskan, keadaan sedemikian perlu diperbaiki, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Begitu juga isu gelandangan. Mereka bukan 100 atau 200 orang tetapi beribu-ribu orang daripada pelbagai latar belakang. Mereka tidak boleh dibiarkan. Kerajaan perlu selamatkan, terutama melindungi mereka daripada COVID-19,

“Sama juga dengan isu pemilikan rumah. Rumah mampu milik hanya mampu dilihat, dengan separuh daripada permohonan itu ditolak kerana tidak memenuhi kriteria pendapatan dan beban kos hidup tinggi,” katanya.

Beliau sekali gus memaklumkan dalam masa terdekat, kementeriannya akan mengumumkan empat hingga lima program besar selepas semua persiapan berkaitan selesai.

Dalam pada itu, Annuar turut kongsikan perkembangan 187 gelandangan yang mengikuti Program Latihan Khas di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Sepang.

“Kita membina kembali jati diri, disiplin dan keyakinan golongan itu supaya mereka boleh keluar daripada kepompong gelandangan.

“Penyelesaian isu gelandangan perlu merangkumi semua aspek supaya dapat mengembalikan nilai jati diri golongan itu.

“Kita percaya mereka boleh dipulihkan. Kita tidak meletakkan harapan 100 peratus, berjaya 60 hingga 70 peratus sudah cukup baik,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )