Beri peluang UMNO isi jawatan Timbalan Menteri Besar, Exco Kelantan

Beri peluang UMNO isi jawatan Timbalan Menteri Besar, Exco Kelantan

KOTA BHARU,. Pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan perlu diberi peluang membarisi jawatan-jawatan utama dalam kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri bagi mengukuhkan semangat Perikatan Nasional dan juga Muafakat Nasional.

Penyelaras Liga Rakyat Demokratik Kelantan, Mohd Afiq Ayob berkata, Kelantan dilihat sebagai negeri terbaik untuk membuktikan pengukuhan antara kedua-dua parti dan ia perlulah dilakukan secara lebih baik dengan menyerap pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan negeri.

Apatah lagi katanya, kebanyakan pemimpin UMNO bukanlah calang-calang kerana mereka mempunyai kredibiliti dan pengalaman dalam pentadbiran.

“Sekiranya Perikatan Nasional mahu dilihat sebagai satu gabungan parti kukuh di Malaysia terutama bagi orang Melayu dan bumiputera, Kelantan adalah negeri yang terbaik.

“Hal ini kerana hampir 100 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan dibarisi oleh wakil rakyat dari kaum Melayu, bumiputera dan kesemua kerusi diwakili oleh parti-parti daripada gabungan Perikatan Nasional iaitu 37 daripada Pas, tujuh UMNO dan seorang dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya nafas baharu dalam pentadbiran di Kelantan melalui gabungan kukuh Muafakat Nasional, ia dilihat berupaya menyelesaikan masalah lapuk dan tradisi di Kelantan seperti isu bekalan air, pengurusan sampah, kemiskinan, peluang pekerjaan dan penyalahgunaan dadah terutama pil kuda.

Mengulas lanjut katanya, antara pemimpin yang dilihat layak mengisi jawatan Timbalan Menteri Besar ialah ADUN Kok Lanas, Datuk ​Md Alwi Che Ahmad yang juga bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Menurutnya, Md Alwi turut menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO Kelantan selain pernah menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

“Beliau adalah seorang profesional terlatih dalam bidang ukur tanah dan pengurusan hartanah dan juga memegang pelbagai jawatan dalam GLC kerajaan sebelum ini selain pernah menjadi Setiusaha Politik kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Beliau (Md Alwi) selayaknya memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan dengan pengalaman pentadbiran dan politik seluas itu.

“Barisan Exco juga boleh diisi oleh ADUN-ADUN hebat yang lain daripada UMNO seperti Datuk Abdul Aziz Derashid yang merupakan orang lama politik di Kelantan dan Mohd Syahbuddin Hashim (ADUN Galas) yang merupakan wakil rakyat muda berpengalaman luas memimpin pertubuhan belia sehingga peringkat nasional,” katanya.

Sementara itu, Afiq turut mempersoalkan siapa sebenarnya yang layak melakukan semak dan imbang dalam kerajaan Kelantan.

“Tidak mungkin rakan-rakan Muafakat Nasional iaitu gabungan kerjasama Pas dan UMNO dan Perikatan Nasional akan menghentam sesama sendiri dalam DUN. Maka, apa jua keputusan dan tindakan di pihak kerajaan, tiada suara yang akan menegur apatah lagi membantah,” katanya.

–SINAR HARIAN,

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )