Belum ada tarikh balik ke bandar

Belum ada tarikh balik ke bandar

PUTRAJAYA,. Kerajaan belum memutuskan tarikh perjalanan rentas negeri bagi mereka yang terkandas di kampung halaman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan pelbagai isu perlu dibincangkan secara terperinci selepas maklumat pendaftaran menerusi aplikasi Gerak Malaysia dan balai polis di seluruh negara diperoleh.

Kata beliau, tempoh pendaftaran adalah bermula hari ini hingga 1 Mei ini.

“Perbincangan dilakukan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dari segi prosedur standard operasi (SOP) untuk kepulangan mereka dari kampung.

“Selepas mendapat cadangan SOP tersebut perlu membawa ke mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setiap pagi dan Jawatankuasa MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Apabila lulus baru tetapkan tarikh perjalanan ke Kuala Lumpur atau tempat kerja masing-masing di seluruh negara, ” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Semalam, PDRM memberikan tiga hari untuk orang ramai melakukan pergerakan antara negeri untuk tujuan dibenarkan semasa PKP iaitu antara 1 Mei hingga 3 Mei depan.

Sepanjang tempoh pergerakan itu, tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan, surau ditutup dan aktiviti solat berjemaah tidak dibenarkan termasuk di mana-mana bangunan, kawasan lapang dan tempat letak kereta.

Selain itu, hanya tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi dan stesen minyak beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Ismail Sabri bagaimanapun menzahirkan penghargaannya kepada PDRM yang telah mencadangkan beberapa SOP yang dikiranya amat baik sekali.

“Kepulangan orang ramai dari kampung ini melibatkan isu yang banyak seperti bagaimana mereka tiada kenderaan, mempunyai kenderaan tetapi lima orang satu kenderaan. Ia melanggar arahan bahawa hanya seorang sahaja pemandu dalam satu kenderaan.

“Ini bukan straight forward kes. Begitu juga dari bandar hendak kampung,” katanya.

Ketika ditanya pemberita, tarikh perjalanan yang mungkin ditetapkan oleh kerajaan bagi urusan tersebut, Ismail Sabri menjawab “Kalau kita dibenarkan sekalipun ia tentu sahaja selepas selesai uruskan pelajar institut pengajian tinggi pulang,” jelasnya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )