Belum ada mana-mana pihak isytihar bubar, keluar Muafakat Nasional – Tuan Ibrahim

MELAKA,. Belum ada mana-mana pihak sama ada UMNO mahupun PAS yang mengisytiharkan pembubaran Muafakat Nasional (MN), atau keluar daripada muafakat itu, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata perbincangan di peringkat tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan status MN, juga masih belum diadakan setakat ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau Batu Berendam di sini hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan seorang perwakilan UMNO Kelantan, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang menganggap UMNO tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi tiga pemimpin PAS masih memimpin parti itu, Tuan Ibrahim berkata ia hak PAS untuk mengekal atau menyingkirkan mana-mana pemimpinnya.

Katanya parti lain tidak perlu campur tangan dalam pentadbiran PAS.

Perwakilan UMNO Kelantan Datuk Zawawi Othman dalam PAU sebelum ini menyatakan, UMNO tidak boleh bekerjasama dengan PAS selagi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor, masih memimpin parti itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )