Bekerja dari rumah: Pencinta haiwan ‘bergelut’ layan kerenah haiwan peliharaan

Bekerja dari rumah: Pencinta haiwan ‘bergelut’ layan kerenah haiwan peliharaan

KUALA LUMPUR,. Perlu diakui, bekerja dari rumah (WFH) bukan sesuatu yang mudah, terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan haiwan peliharaan.

Ya, haiwan peliharaan. Kedengarannya agak remeh tetapi melihat daripada perkongsian netizen, pencinta haiwan di laman sosial Facebook dan Twitter, satu persamaan yang boleh disimpulkan ialah, masing-masing ‘bergelut’ antara menyiapkan tugasan dan melayan kerenah kucing atau anjing peliharaan mereka.
Memasuki hari ke-24 pelaksanaan PKP, sudah tentu pemilik haiwan kesayangan ini mempunyai pelbagai pengalaman dan insiden melucukan malah kadang-kadang ‘menguji kesabaran’ mereka dengan haiwan peliharaan, terutama yang terpaksa bekerja dari rumah (WFH).

Bagi pereka hiasan dalaman, Intan Suhaiza Razak, 35, banyak perkara ‘rahsia’ yang dilakukan oleh kucingnya, ‘terbongkar’ sejak rutin hariannya berubah apabila perlu bekerja dari rumah bermula 18 Mac lepas.
“Baru kini saya kenal perangai tiga anak bulu peliharaan saya. Sebelum ini, tempoh masa saya luangkan dengan mereka hanya beberapa jam sehari. Ini dah sehari semalam, berhari-hari mengadap, satu persatu perangai mereka saya nampak sendiri.

“Paling mengejutkan, mereka mampu membuka pili air di sinki dapur dan akan bermain air di situ. Memang mengejutkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Turut berkongsi pengalaman, Amirul Iqbal Razali, 30, mengakui terlalu banyak ‘dugaan’ yang menguji kesabarannya sepanjang bekerja dari rumah gara-gara kucing peliharaannya.

“Saya ada tiga ekor dan semuanya seolah-olah mahu perhatian lebih daripada saya sejak saya bekerja dari rumah. Tiap kali saya mengadap komputer untuk melakukan kerja pejabat, mesti akan datang mengacau.

“Masa itulah ada yang nak duduk atas riba, ada nak ajak bermain dan paling ‘pelik’, minta makan sedangkan sebelum itu saya dah siapkan semuanya. Itu belum lagi tempat kerja saya, dibuat tempat tidur mereka,” kata pegawai audit itu.

Bagi pengamal media, Muhamad Saufee Rosman pula, kucing peliharaannya yang dipanggil Ethan pula seolah seronok apabila beliau dan rakan serumah yang lain, ‘terkurung’ bersamanya sepanjang PKP ini.

“Manja Ethan macam luar biasa, mungkin sebab seronok kami ada di rumah memandangkan sebelum ini, asyik kena tinggal. Asyik nak ‘menyendeng’, tak kira masa,” katanya.

Pun begitu, gelagat Ethan yang terlebih manja itu langsung tidak mengganggu malah keberadaan si comel berwarna oren dan putih itu berjaya mengurangkan tekanan saat terperuk seharian di dalam rumah.

“Kuranglah sikit rasa bosan. Walaupun ada ketikanya agak mengganggu semasa buat kerja, tapi lagi sunyi kalau dia tak ada,” katanya.

Biarpun apa jua gelagat dan pengalaman yang ditempuhi bersama kucing peliharaan sepanjang PKP ini, pastinya pengesahan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang haiwan peliharaan bukanlah penyebar virus COVID-19, sesuatu yang melegakan.

“Memang bimbang juga masa awal-awal wabak ini berlaku tetapi selepas KKM beri pengesahan yang masyarakat tidak perlu bimbang dan pemilik pula tidak perlu membawa haiwan peliharaan mereka menjalani ujian pengesanan virus COVID-19 buat masa ini, ia sangat melegakan,” kata Nurana Mukhriz, 28.

Bertugas dalam bidang teknologi maklumat, beliau menjelaskan tidak dapat membayangkan jika terpaksa berpisah dengan dua ekor kucing yang dipeliharanya sejak lima tahun lalu.

“Walaupun ‘Adik’ dan ‘Che Yam’ hanya kucing kampung, merekalah peneman saya yang tinggal seorang diri. Bercakap dengan Adik dan Che Yam, sedikit sebanyak mengurangkan tekanan dan kesunyian saya sepanjang PKP ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )