Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia dilantik Pengerusi Yayasan Komanwel

Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia dilantik Pengerusi Yayasan Komanwel

KUALA LUMPUR,. Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Sudha Devi KR Vasudevan dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel bagi tempoh dua tahun bermula 1 Jan tahun depan.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan tersebut dicapai semasa Mesyuarat Luar Biasa Lembaga Gabenor-Gabenor Yayasan Komanwel yang diadakan secara maya pada 28 Okt di London, United Kingdom.

“Keputusan mesyuarat itu seterusnya diperakui Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel pada 7 Dis dengan Malaysia menerima undian terbanyak semasa pemilihan tersebut, mengatasi calon dari Cameroon, Kenya dan Papua New Guinea.

“Pelantikan Sudha Devi sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel adalah amat bersejarah kerana beliau merupakan wakil Malaysia dan juga pengerusi pertama dari rantau Asia yang dilantik untuk mengetuai Yayasan Komanwel sejak penubuhan yayasan tersebut pada 1966,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Sudha Devi berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Brazil serta pernah menyandang pelbagai jawatan diplomatik di Jerman, Singapura dan Switzerland.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan, Setiausaha Bahagian Asia Timur dan Timbalan Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia sepanjang perkhidmatan di Kementerian Luar.

Yayasan Komanwel ditubuhkan bagi menggalakkan penglibatan rakyat dalam dialog awam untuk bertukar pandangan dan bertindak bersama dalam membina masyarakat demokratik.

Ia juga berperanan memastikan setiap institusi kerajaan dan polisi menyumbang kepada pembangunan melalui pengaruh suara rakyat.

Selaku pengerusi yayasan, Sudha Devi akan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Gabenor-Gabenor, mewakili pertubuhan itu di mesyuarat dan upacara antara kerajaan serta berkhidmat sebagai duta bagi Yayasan Komanwel untuk mempromosikan visi serta nilai-nilai yayasan.

Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada negara anggota Yayasan Komanwel atas sokongan yang diberikan terhadap pelantikan Sudha Devi dan akan terus menyokong yayasan itu untuk mencapai visi dan matlamatnya termasuk dalam mengetengahkan peranannya sebagai suara warga Komanwel.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)