Bekas perenang kebangsaan meninggal dunia

Bekas perenang kebangsaan meninggal dunia

KUALA LUMPUR,. Bekas perenang kebangsaan Lim Heng Chek, 85, meninggal dunia Sabtu, menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan pada Ahad.

MOM berkata pemergian Lim adalah satu kehilangan amat berharga kepada arena renang di Malaysia, dan ia turut menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga mendiang.

“Mendiang merupakan atlet hebat yang pernah mengambil bahagian dalam semua empat kejohanan sukan di bawah bidang kuasa Persekutuan Majlis Olimpik Malaya (FMOC), yakni Sukan Olimpik, Sukan Empayar British dan Komanwel, Sukan Asia, dan Sukan SEAP (kini dikenali sebagai Sukan SEA),” menurut kenyataan itu, yang dipaparkan di laman Facebook MOM.

Lim merupakan salah seorang anggota kontinjen Persekutuan Malaya yang berjaya membuat penampilan sulung negara dalam acara renang di Sukan Olimpik ke-16 Melbourne 1956, apabila mendiang mengambil bahagian dalam acara 100meter lelaki kuak lentang, dan merekodkan catatan masa 1:12.4s.

Selain itu mendiang juga pernah mengambil bahagian dalam Sukan SEAP yang pertama Bangkok 1959, dan meraih dua pingat emas dalam acara 100m kuak lentang dan 100 kuak kupu-kupu, di samping meraih pingat perak dalam acara 100m kuak lentang di Sukan SEAP Yangon 1961.

Beliau juga merupakan jurulatih renang yang bertauliah bagi negeri Selangor dan jurulatih renang kebangsaan selama 15 tahun sejak tahun 1964.

“Beliau disenaraikan dalam MOM Hall of Fame pada tahun 2013 bagi segala sumbangannya dalam pembangunan sukan renang, daripada menjadi perenang kebangsaan, jurulatih kebangsaan, pegawai pasukan, pegawai teknikal, Setiausaha Kehormat dan Naib Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM),” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )