Bekas pemain bola sepak wanita Perak dapat perhatian

IPOH,. Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) hari ini menghulurkan sumbangan kepada bekas pemain bola sepak wanita Perak era 90-an, Rozanawati Yusop yang menghidap strok sejak dua tahun lepas.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia, Normala Rashid berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban ditanggung bekas pemain pertahanan berusia 48 tahun itu.

“Ini sebagai tanda penghargaan kita kepada beliau selaku bekas pemain dan pernah mengharumkan nama Perak dalam sukan bola sepak.

“Walaupun kami bukan seangkatan atau tidak bermain di era yang sama, atas dasar semangat kesukanan, semua nasib bekas pemain yang berdepan kesulitan seperti ini perlu dibantu dan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat bekas pemain itu di Kampung Pengkalan Pegoh di sini, hari ini.

Sementara itu, kakak Rozanawati, Hamizun, 58, berkata, sumbangan yang diberikan itu akan digunakan untuk menguruskan hal-hal yang membabitkan kesihatan adiknya.

Hamizun berkata keadaan adiknya semakin baik dan sedang menjalani rawatan fisioterapi dua kali seminggu di sebuah pusat rawatan swasta di sini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )