Bekas jurulatih, CEO pasukan Liga-M anggap program naturalisasi masih relevan

Bekas jurulatih, CEO pasukan Liga-M anggap program naturalisasi masih relevan

KUALA LUMPUR,. Tatkala segelintir pihak tampak tidak bersetuju program naturalisasi kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diteruskan, beberapa individu terlibat secara langsung dalam ekosistem bola sepak negara menganggap program itu masih releven.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan Dollah Sal
leh berpendapat khidmat pemain naturalisasi yang berkualiti masih diperlukan sebagai usaha memperkuat skuad Harimau Malaya untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Menurut pengendali Sri Pahang FC itu, pasukan negara bukan sahaja memerlukan pemain naturalisasi yang memiliki kemahiran baik di atas padang, malah pemain yang mempunyai kelebihan dari aspek fizikal.

Katanya, beliau sendiri juga pernah mencadangkan supaya skuad kebangsaan diperkuat dengan kehadiran pemain naturalisasi ketika masih membimbing pasukan negara sebelum ini.

“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan satu daripada sebabnya faktor fizikal kerana apabila beraksi di peringkat Asia, belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Masing-masing ada pendapat sendiri, kalau ikut pengalaman saya, sukar jika kita bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar layak,” kata Dollah yang membimbing skuad Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur City FC Stanley Bernard mengakui kehadiran pemain naturalisasi juga turut membantu perkembangan Liga Malaysia (Liga-M) dalam memberikan lebih banyak pilihan pemain berkualiti yang akan memanfaatkan kelab bertanding.

Bagi Stanley, antara sudut positif kehadiran pemain naturalisasi kepada kelab ialah dapat memperkuat pasukan sekali gus merancakkan lagi saingan Liga-M, namun penelitian dengan mendalam perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Untuk itu, saya rasa kita berbalik kepada apa yang pemain naturalisasi itu boleh berikan kepada kita dan saya dapat lihat adanya mereka ini, liga kita akan menjadi lebih elit dan akan lebih banyak membantu daripada segi perkembangan sesebuah pasukan itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, CEO Kedah Darul Aman FC Khamal Idris Ali tidak melihat perebutan tempat dalam kesebelasan utama pasukan yang pastinya menjadi lebih mencabar dengan kehadiran pemain naturalisasi akan menyukarkan peluang pemain tempatan.

Katanya, pemain naturalisasi yang berkualiti boleh menjadi penanda aras kepada barisan pemain tempatan terutama ‘ubi muda’ pasukan untuk terus meningkatkan prestasi mereka.

“Bagi saya, kita kena faham dan jelas bagaimana kualiti yang ada pada seseorang pemain naturalisasi ini untuk mereka menjadi satu contoh dan penanda aras yang baik buat pemain tempatan untuk mengikut prestasi mereka.

“Keseimbangan itu juga penting tetapi untuk pemain tempatan, apabila mereka bersaing dengan pemain-pemain yang bagus, saya percaya mereka juga akan menjadi lebih bagus, jadi tiada isu pun mengenai program naturalisasi ini,” katanya.

Ketika ini, dua nama pemain import Liga-M antaranya tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Endrick Dos Santos (Penang FC) disebut-sebut bakal menjadi pemain naturalisasi terbaru pasukan negara dalam usaha skuad kebangsaan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya kini dibarisi tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh dari Gambia, Liridon Krasniqi (Kosovo) serta Guilherme De Paula (Brazil).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)