Bekas ADUN Lembah Jaya Ismail Kijo meninggal dunia

Bekas ADUN Lembah Jaya Ismail Kijo meninggal dunia

SHAH ALAM,. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Datuk Ismail Kijo meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, dekat sini kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi berkata Allahyarham Ismail, 69, dimasukkan ke hospital berkenaan pada 18 Jan selepas disahkan dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata Allahyarham Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Ampang sebelum ini menghidap kanser Limfoma sejak setahun lepas dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Hospital Ampang Puteri.

“Walaupun beliau menghidap kanser limfoma dan keadaan kesihatannya ‘on and off’, beliau tetap komited mengikuti aktiviti parti.

“Pada 16 Jan lepas, Allahyarham beritahu beliau mengalami batuk hampir seminggu dan memutuskan untuk menjalani ujian saringan COVID-19. Keputusan ujian didapati positif. Dua hari kemudian, beliau dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Menyifatkan Allahyarham sebagai rakan baiknya, Kamaruzzaman berkata urusan pengebumian jenazah akan dilakukan petugas Kementerian Kesihatan dan lokasinya belum ditentukan setakat ini.

Allahyarham Ismail menyandang kerusi ADUN Lembah Jaya, Selangor atas tiket Barisan Nasional selama tiga penggal bermula 1995 hingga 2008.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )