Bantuan Wilayah Cakna disalur terus ke akaun -Annuar Musa

Bantuan Wilayah Cakna disalur terus ke akaun -Annuar Musa

PUTRAJAYA – Bantuan yang diumumkan menerusi inisiatif Wilayah Cakna semalam, akan disalurkan secara terus ke akaun bank penerima.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, penyampaian paket makanan tidak akan diagihkan kepada penerima seperti yang direncanakan sebelum ini berikutan langkah itu akan menggalakkan penyaluran virus Covid-19 menerusi fizikal.

“Kaedah pengagihan diguna pakai kerana kita menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir 31 Mac ini. Oleh kerana ia dilanjutkan, maka kita tidak agihkan barangan secara langsung yang boleh membahayakan.

“Kita sedang uruskan satu cara iaitu barangan yang bernilai RM100 bagi setiap pek itu akan terus dimasukkan ke dalam akaun penyewa-penyewa rumah projek perumahan rakyat (PPR) dan lain-lain,” katanya dalam sidang akhbar khas selepas mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKN WP) hari ini.

Menurut Annuar yang juga pengerusi JKKN WP, sekiranya data berkaitan tidak ada dalam simpanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), penerima akan dihubungi dengan cara lain dan kaedah yang sama akan digunakan kepada penerima yang tersenarai.

Jelas beliau, penerima juga tidak perlu bimbang tentang di mana perlu daftar atau bagaimana mahu mendapatkan bantuan kerana ia akan dilakukan secara teratur.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir orang awam yang membuat akaun media sosial palsu serta mengajak orang ramai mendaftar dan sebagainya.

Tegas beliau, perkara tersebut tidak sepatutnya diamalkan sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai sedangkan kerajaan berusaha untuk kebaikan semua pihak.

Semalam, Annuar mengumumkan, peruntukan sebanyak RM63.6 juta telah diluluskan di bawah inisiatif Wilayah Cakna yang diadakan bagi membantu golongan miskin bandar, penjaja dan petugas barisan hadapan yang terkesan akibat wabak Covid-19. – WILAYAHKU

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )