Bajet 2023: Peruntukan RM1.4 bilion untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi lima Wilayah Koridor utama negara

Bajet 2023: Peruntukan RM1.4 bilion untuk rancakkan pertumbuhan ekonomi lima Wilayah Koridor utama negara

KUALA LUMPUR,. Lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion, peningkatan dua kali ganda berbanding RM690 juta peruntukan bagi tahun 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata selain itu, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

Untuk tahun hadapan, katanya beberapa program utama akan dilaksanakan iaitu Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta; Program Pembangunan Modal Insan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40 dengan peruntukan RM63 juta; dan Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan RM80 juta.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM250 juta untuk pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dan Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta,” kata beliau ketika membentangkan Bajet 2023 di parlimen hari ini.

Bagi memacu pertumbuhan ekonomi di utara, kerajaan akan melaksanakan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga berhasrat untuk membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 200 ekar di SBEZ Delapan.

Untuk tahun hadapan, RM25 juta disediakan untuk menyediakan infrastruktur utama di samping sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion yang menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan.

Selain itu, kerajaan turut merancang membangunkan bandar-bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan Sabah serta Tebedu dan Bakelalan, Sarawak dengan kos RM150 juta.

Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )