Bajet 2022: Inisiatif JaminKerja sedia 600,000 peluang pekerjaan

Bajet 2022: Inisiatif JaminKerja sedia 600,000 peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR,. Kerajaan akan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan sasaran 300,000 orang.

“Di bawah inisiatif ini, majikan yang mengambil Keluarga Malaysia yang tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30 peratus bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan banduan, kerajaan akan memberi insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada gaji RM1,200 ke atas.

Insentif tersebut turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji golongan wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah sebagai usaha menggalakkan wanita kembali bekerja.

Selain itu, beliau berkata inisiatif ‘Malaysia Short-term Employment Programme’ atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan mulai Januari 2022.

Katanya Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.

“Diharapkan melalui pelaksanaan inisiatif JaminKerja serta langkah pemulihan ekonomi dapat menurunkan kadar pengangguran negara kepada empat peritus dan mencapai tahap guna tenaga penuh,” katanya.

Bagi menggalakkan rakyat mengikuti program latihan dan bidang baharu, pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan kepada RM2,000 hingga tahun 2023.

Tengku Zafrul berkata pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000 turut diberikan kepada mereka yang mengambil kursus dengan badan-badan professional yang diluluskan merangkumi bidang perakaunan, kewangan, berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai dua kali kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )