Awasi alat pengimbas suhu ‘terlalu murah’

Awasi alat pengimbas suhu ‘terlalu murah’

KUALA TERENGGANU,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan orang ramai supaya memeriksa dan mendapatkan pengesahan pihak berkenaan sebelum membeli produk berkaitan kesihatan yang dijual terlalu murah.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata antaranya ialah alat pengimbas suhu digital yang dikatakan ada dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran, sekali gus didakwa sekadar memenuhi syarat ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Mengakui pihaknya menyedari kes sedemikian, beliau menegaskan, kes itu kini dalam perhatian KPDNHEP untuk tindakan susulan.

“Buat masa sekarang kita hanya boleh menasihati peniaga dan pengguna supaya membelinya daripada kedai yang sah dan diakui membekal alat berkenaan.

“Jangan beli daripada penjual tidak sah dan pastikan alat pengimbas mempunyai pengesahan Sirim Berhad (Sirim) bagi memastikan ia berfungsi dengan baik,” katanya selepas program pematuhan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Rosol berkata, KPDNHEP tidak mempunyai peraturan khusus berkaitan alat pengimbas suhu digital produk murahan itu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedai atau pembekal menjual alat tidak berkualiti itu boleh melaporkannya kepada KPDNHEP untuk tindakan.

“Tolong jangan beli alat pengimbas digital sangat murah berbanding harga pasaran kerana ia pasti barangan yang tidak berkualiti.

“Ia tidak mencapai matlamat ditetapkan dalam SOP PKPP jika alat berkenaan tidak tidak berfungsi seperti sepatutnya,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )