ATM komited ketatkan kawalan sempadan

ATM komited ketatkan kawalan sempadan

KUALA LUMPUR,. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memperketatkan kawalan di sepanjang persempadanan negara.

Tegas Jeneral Tan Sri Affendi Buang, ATM sentiasa mengambil pelbagai perkiraan keadaan dalam merangka pelan strategik pertahanan negara merangkumi apa jua situasi terutama semasa menghadapi penularan wabak Covid-19.

“Pelbagai kemungkinan diperhalusi terutama jangkaan tindakan warga asing yang akan memasuki Malaysia secara tidak sah dengan menggunakan laluan tikus.

“Ini seterusnya boleh memberi impak kepada peningkatan penularan wabak Covid-19. Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), operasi dalam negara tetap diteruskan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Affendi, bagi kawalan persempadanan negara pula, ATM mempunyai kolaborasi padu bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta agensi keselamatan lain yang bukan sahaja melibatkan kawalan persempadanan darat di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur malah turut melibatkan kawalan di persempadanan perairan negara.

Justeru, ujarnya, dengan arahan terbaru berdasarkan Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, ATM akan memperkukuhkan lagi perintah dan kawalan di setiap pemerintahan darat, laut dan udara supaya berada pada tahap tinggi.

Tegasnya, setiap pemerintah di setiap peringkat pemerintahan dikehendaki menentukan arahan-arahan semasa terutama atur gerak operasi semasa dikuatkuasakan.

Tambah beliau, pengukuhan kawalan operasi di persempadanan negara tidak akan menjejaskan penugasan anggota sedia ada dalam Operasi Penawar untuk menguatkuasa PKP dan PKPD. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )