Atlet paralimpik terima mata ganjaran, penghantaran makanan dari Grab Malaysia

Atlet paralimpik terima mata ganjaran, penghantaran makanan dari Grab Malaysia

KUALA LUMPUR,. Tiga pemenang pingat emas Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly menerima satu juta mata ganjaran serta penghantaran makanan percuma selama setahun sebagai menghargai kejayaan mereka di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Syarikat penghantar makanan itu turut menghargai pencapaian pingat perak dimenangi Jong Yee Khie dan Chew Wei Lun dengan memberikan mereka 500,000 mata ganjaran dan penghantaran makanan percuma selama setahun.

Atlet lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli turut menerima mata ganjaran sebanyak 50,000 dan penghantaran makanan percuma selama setahun sebagai menghargai usaha dan pencapaiannya di peringkat antarabangsa.

“Tahniah dan terima kasih kepada para pemenang pingat dan atlet para yang telah mempamerkan dedikasi, kesungguhan dan kecekalan mereka. Anda semua telah membuktikan kejayaan mampu dicapai seandainya ada usaha, anda telah mencetuskan harapan dan keberanian.

“Dan seperti biasa, anda terus memberi inspirasi dan motivasi kepada kita semua ke arah membina negara yang inklusif,” kata Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Grab terus mewujudkan inklusiviti dan persamaan lebih besar di Asia Tenggara khususnya kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang berusaha untuk berdikari dan peluang untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Atlet powerlifting Bonnie Bunyau meraih pingat emas dan memecah rekod temasya dalam kategori 72kg lelaki manakala Liek Hou dan Abdul Latif masing-masing merangkul pingat emas acara badminton SU5 dan lompat jauh T20 lelaki.

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berterima kasih atas sokongan dan pengiktirafan yang diberikan bagi meraikan kejayaanParalimpian di Sukan Paralimpik Tokyo itu.

“Sukan Paralimpik adalah puncak sukan Para dan pengiktirafan oleh Grab adalah pendedahan yang baik untuk membantu meningkatkan semangat kesukanan atlet kami dan seterusnya memberikan sokongan yang diperlukan untuk masyarakat OKU,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )