Atlet Pahang disaran berjimat
KUANTAN,. Kerajaan Pahang tidak menyediakan peruntukan khusus bagi membantu atlet negeri itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, bantuan hanya diberikan kepada mereka yang memerlukan.
Menurutnya, perbincangan yang diadakan sebelum ini memutuskan kerajaan negeri sedia memberi bantuan kepada atlet mengikut kesesuaian dan mereka sudah sedia maklum.
“Buat masa ini semua atlet Pahang yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020, atlet pembangunan dan atlet sekolah sukan menerima elaun bulanan yang disediakan kerajaan negeri dan disalurkan melalui Majlis Sukan Pahang (MSP).
“Justeru tidak ada alasan mereka berhadapan masalah kewangan terlalu ketara sekiranya bijak menguruskan sumber bantuan yang diterima itu, berbelanjalah secara berhemah,” kata Johari.
Menurut Johari, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kira-kira RM81,000 sebulan untuk membayar elaun atlet SUKMA, atlet pembangunan dan atlet sekolah sukan. Peruntukan untuk atlet SUKMA akan bertambah berikutan penangguhan temasya berkenaan.
Johari berkata, kontinjen Pahang dibarisi 600 atlet, dan akan bersaing dalam 29 daripada 31 acara yang dipertandingkan di SUKMA Johor 2020.
Katanya, walaupun tarikh penganjuran SUKMA Johor masih jauh atlet Pahang diingatkan supaya dapat terus mengekalkan kecergasan bagi mengelak prestasi mereka jatuh merudum hingga boleh memalukan kontinjen Tok Gajah.
“Saya difahamkan oleh MSP dari masa ke masa jurulatih setiap acara sukan akan menghantar laporan latihan yang dilakukan semua atlet sepanjang PKP, atlet turut perlu menghantar gambar latihan mereka.
“Saya berharap semua atlet dapat mengadakan latihan secara berterusan bagi mengekalkan kecergasan, gunalah peralatan sesuai ketika mengadakan latihan dan berusaha mengelak daripada berlaku kecederaan,” katanya.