Apa itu hujan air batu? Ini fakta yang perlu anda tahu
KUALA LUMPUR,. Hujan lebat, ribut petir, banjir kilat dan angin kencang adalah antara fenomena alam yang sering berlaku di negara ini.
Namun, fenomena hujan air batu jarang sekali berlaku di Malaysia sehinggakan apabila ia berlaku, kejadiannya akan mengejutkan banyak pihak.
Terbaru, pada petang semalam (Rabu, 20 Mei), penduduk di beberapa kawasan di Ipoh, Perak gempar seketika apabila tanpa disangka, hujan air batu telah ‘menghentam’ sekitar kediaman mereka.
Ini beberapa fakta yang disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk perlu anda tahu:
Hujan batu yang biasanya berbentuk bulat atau gumpalan ais yang tidak sekata adalah pepejal yang terhasil oleh awan ribut petir (kumulonimbus).
Pada paras ketinggian tertentu, suhu adalah di bawah takat beku dan proses pemeluwapan berlaku pada debu-debu atau partikel-partikel lain yang dikenali sebagai nuklei kondensasi.
Hujan air batu terbentuk ketika arus angin yang kuat membawa bersama titisan air ke lapisan atmosfera yang cukup tinggi untuk titisan air tersebut membeku.
Ketulan air batu terbentuk apabila semakin banyak titisan air membeku lalu menyebabkan saiznya menjadi besar.
Hujan air batu juga berlaku disebabkan ais yang terbentuk dalam awan gagal cair sebelum ia mencecah bumi.
Kebanyakan ribut petir mengandungi air batu tetapi bukan semua ribut petir menyebabkan hujan air batu.
Suhu di bahagian atas ribut petir adalah di bawah takat beku yang menyebabkan air batu terbentuk tetapi kadang kala air batu mencair sebelum ia jatuh ke permukaan bumi.
Keadaan landskap seperti kawasan berbukit juga antara faktor penyebab arus angin menolak lebih kuat titisan air naik ke lapisan atmosfera yang tinggi.
Disebabkan Malaysia beriklim khatulistiwa, dan musim tengkujuh sering melanda negara ini setiap tahun, maka peluang untuk mengalami hujan air batu sebenarnya sangat tinggi.
Jadi, tidak hairanlah jika ia berlaku di negara ini kerana hujan lebat dan ribut petir disertai air batu sebenarnya fenomena biasa dalam musim peralihan monsun.