Antara penjenamaan semula dan ‘kegilaan’ baharu Nokia
BARCELONA: Sempena Mobile World Congress Barcelona 2023 (MWC 2023), jenama Nokia antara yang menjadi bualan hangat bagi pengunjung yang hadir. Mana tidaknya, jenama yang pernah menjadi gergasi telefon mudah alih satu masa dahulu kini muncul dengan reruai bersaiz mega beserta reka bentuk yang futuristik.
Kehadiran Nokia kali ini dilihat sebagai salah satu strategi penting untuk memberitahu kepada dunia bahawa Nokia sekarang tidak sama seperti dahulu. Menerusi kenyataan media pada Ahad, Pekka Lundmark, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nokia menjelaskan, Nokia kini sedang mengemaskini strategi perniagaan mereka untuk menjadi pemboleh utama (key enabler) kepada teknologi terbaharu.
“Nokia kini merupakan peneraju inovasi teknologi secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang merintis masa depan di mana rangkaian (network) bertemu awan (cloud),” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan perubahan logo yang pertama buat Nokia sejak ia diambil alih oleh HMD Global yang meneruskan penggunaan logo klasiknya yang dikenali di seluruh dunia. Pada masa sama, pendekatan perkongsian dengan kumpulan penyelidikan terutamanya dalam inovasi rangkaian telah menyebabkan wadah inovasi Nokia kelihatan agak ‘gila’.
Mana tidaknya, Nokia merancang untuk membangunkan rangkaian selular pertama di bulan dengan teknologi 4G menerusi inisiatif penyelidikan bersama Bell Labs. “Siapa nak pakai telefon kat bulan? Orang pun tak ada kat sana!” kata salah seorang pengunjung yang mengunjungi reruai Nokia di WMC 2023.
Menurut Presiden Nokia Bell Labs, Thierry Klein, projek yang dimulakan pada 2020 itu sedia untuk dilancarkan pada 2023 dengan kerjasama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Kerjasama ini akan membolehkan rangkaian LTE di bulan menunjukkan bagaimana teknologi selular canggih boleh digunakan untuk komunikasi kritikal dalam penerokaan planet masa hadapan. Di sebalik ‘kegilaan’ ini, aspirasi yang ditunjukkan Nokia dalam strategi baharunya memungkinkan sebarang idea dapat dilaksanakan dan paling penting dapat dikomersialkan sewajarnya.
Maka tidaklah penyelidikan saintifik sekadar menjadi pelengkap kepada koleksi penerbitan kajian di institusi pendidikan tinggi semata-mata.
-Agensi