Anis Nabilah, Bangga Bawa Masakan Malaysia Ke Mata Dunia

Anis Nabilah, Bangga Bawa Masakan Malaysia Ke Mata Dunia

SHARJAH – Kesibukan ibunya bekerja, namun masih punya masa menyediakan juadah enak untuk keluarga membenihkan azam kepada cef selebriti, Anis Nabilah untuk membawa masakan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Anis atau nama penuhnya Anis Nabilah Umaruddin, 36, berkata setiap kali ibunya Sharifah Bibi, 67, pulang daripada bekerja, ibunya akan memanggil dia dan adik-beradik perempuan yang lain untuk membantu menyediakan masakan di dapur.

“Kami semua ada tugas masing-masing, memotong bawang, sayur, untuk membantu ibu menyediakan makanan untuk kami lapan beradik, dari situ timbul minat memasak sejak saya kecil lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Festival Membaca Kanak-Kanak Sharjah ke-13 di sini.

Anis mula memasak sendiri ketika berusia 10 tahun dan kini telah 14 tahun berkecimpung dalam dunia kulinari, membolehkan gadis kecil molek ini menjelajah dunia membawa resipi masakan Malaysia ke mata dunia.

Beliau juga satu-satunya cef selebriti Malaysia yang muncul dalam program travelog My Taste of Hong Kong (TLC Asia) dan Eating Wild (Asian Food Channel).

Pernah popular dengan program masakan Icip-Icip, Anis yang dinobatkan Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2020 baru-baru ini berkata selain memperkenalkan masakan Malaysia ke peringkat antarabangsa, dia juga mahu membawa mesej, makanan boleh menyatukan semua.

“Malaysia ini bukan hanya kaya dengan makanan lazat, tetapi juga menjadi budaya suka menjamu tetamu untuk makan, jika orang luar datang ke negara kita, antara perkara pertama kita tanya ialah: ‘Dah makan makanan Malaysia?’…kita sangat suka jika tetamu rasa masakan kita,” katanya yang telah ke Itali, Australia, Dubai, Hong Kong, Singapura dan Indonesia untuk memenuhi undangan masakan.

Berkongsi pengalamannya memenuhi undangan ‘showcase’ masakan di seluruh dunia, Anis berkata beliau pernah menyediakan roti jala kuah durian dan rendang nangka muda kepada penonton asing.

Katanya setiap kali berada di sesebuah negara, beliau akan memasak resipi Malaysia namun menyesuaikannya dengan bahan-bahan masakan yang terkenal di negara itu.

Lulusan Diploma Kulinari dari Institute Food of Malaysia itu berkongsi tip mempertingkatkan ilmu masakan iaitu dengan banyak bertanya daripada peniaga makanan dan bahan mentah bagi memastikan setiap bahan yang dimasak menghasilkan rasa yang sempurna.

“Saya tak malu masuk ke dapur kedai makan dan ke pasar ikan untuk bertanya kepada mereka yang berpengalaman untuk belajar lebih dalam mengenai sesuatu masakan atau bahan, ya kita boleh belajar ilmu masakan daripada Youtube dan cari resipi dalam Internet tetapi tidak sama dengan kita belajar sendiri daripada orang yang lebih pakar,” katanya.

Resipi ringkas dan berkhasiat Anis kini terkandung dalam buku masakan ‘Comfort Food For Thermomix by Chef Anis’ yang telah menjengah pasaran.

Bercita-cita membuka sebuah restoran di bawah jenamanya sendiri, Anis berkata impian itu bakal tertunai apabila dia benar-benar bersedia kerana ingin memastikan dirinya punya masa sepenuhnya untuk mengurus restoran.

“Ia seperti kita melahirkan anak, kita kena jaga sepenuh masa, dan saya berharap suatu ketika yang sesuai, saya akan dapat melaksanakannya,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )