
Anggota ‘Snap Check’ akan ditambah
PUTRAJAYA,. Jumlah anggota penguat kuasa pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ‘Snap Check’ akan ditambah bagi memperhebatkan operasi pemeriksaan di kilang dan premis perniagaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Menurutnya, pasukan ‘Snap Check’ yang kini dianggotai 19,716 orang daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan Sukarelawan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah menjalankan 48,770 pemeriksaan di sektor perkilangan dan premis perniagaan sejak 14 Jun lepas.
“Apa yang kita (KDN) sasarkan adalah meningkatkan peratusan pemeriksaan tahap pematuhan SOP di sektor tersebut,” katanya dalam sidang media rangkuman operasi pematuhan SOP sekatan pergerakan penuh, di sini semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 14 Jun lepas, melaporkan terdapat 1,328 kluster tempat kerja dikesan dan berpendapat SOP di tempat kerja perlu dipertingkatkan ekoran situasi berkenaan.
Hamzah berkata, pihaknya juga mengesan terdapat majikan atau kilang yang memberikan maklumat tidak tepat ketika memohon surat kebenaran beroperasi menerusi COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Menurutnya, mereka yang melakukan kesalahan terbabit boleh dikompaun sebanyak RM10,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Mengenai operasi pematuhan SOP secara menyeluruh, Hamzah berkata PDRM telah mengeluarkan 14,539 kompaun dan menahan 767 individu atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP bagi tempoh 1 Jun hingga kelmarin.
Beliau berkata, PDRM turut melakukan 132 sekatan di jalan-jalan kecil yang dikenal pasti digunakan sebagai laluan alternatif untuk merentas negeri atau daerah.
“Kita akan pastikan laluan tersebut terus ditutup sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ini. Dulu tiada aplikasi Waze, sekarang sudah ada aplikasi itu dan ia (Waze) akan bawa pengguna melalui jalan kecil untuk elak sekatan jalan raya,” katanya.
Menurutnya, rekod PDRM menunjukkan sekitar 11,000 permohonan harian untuk pergerakan rentas negeri dan daerah diluluskan hanya bagi kes yang melibatkan kematian, kecemasan dan bekerja sendiri.
— Bernama