‘Andai hukuman ini mampu hapuskan dosa, saya orang yang beruntung’ – Banduan
MARANG,. “Penjara ini benar-benar menyesakkan jiwa, tapi andai hukuman dan taubat ini mampu menghapus segala dosa, sayalah orang yang paling beruntung.”
Itu kata-kata seorang banduan yang telah menjadi penguni penjara sejak 20 tahun lalu bagi meredakan perasaannya apabila mengenang kesilapan lampau.
Banduan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, berkata dalam tempoh tersebut, dia telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh selama setahun pada 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun dan kini berada di Penjara Marang selama 12 tahun, iaitu sejak 2008.
Ahmad merupakan satu-satunya pesalah dalam kes Al-Ma’unah yang berada di Penjara Marang dan perlu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat. Dia adalah antara 19 anggota kumpulan itu yang dituduh melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong di tiga kawasan di Perak.
Sebelum bertemu Ahmad, penulis membayangkan pesalah ini pastinya mempunyai riak wajah ‘ganas’ dan susuk tubuh tegap namun ia ternyata meleset apabila yang muncul di depan mata figura bertubuh kecil serta berbicara dengan penuh sopan santun.
Ketika temu bual bersama Bernama, Ahmad berkata sejak berada di penjara dia telah berjaya khatam al-Quran sebanyak 165 kali dan sepanjang bulan Ramadan ini, dia khatam tiga kali.
“Saya memohon untuk masuk ke penjara ini (Marang) bagi memudahkan ibu datang melawat memandangkan saya adalah orang Terengganu. Usia mak dan keadaan terpaksa berulang-alik dengan bas membuatkan hati saya sayu apabila melihat dia datang ke penjara walaupun hanya setahun sekali,” katanya.
Di saat membicarakan tentang ibunya, Ahmad dilihat mengalirkan air mata kerana mengenang pesan terakhir insan kesayangannya itu supaya jangan meninggalkan solat dan sentiasa membaca al-Quran malah dia lebih hiba apabila cuba mengingati pengorbanan keluarga terhadapnya.
Sepanjang tempoh di penjara, Ahmad telah kehilangan ayahnya pada 2001 dan ibu pada 2017, iaitu hanya beberapa bulan selepas wanita itu datang melawatnya di penjara.
Menceritakan penglibatan awalnya dalam kumpulan Al-Ma’unah, Ahmad berkata segalanya bermula ketika dia berusia 28 tahun dan terlibat secara aktif dalam seni mempertahankan diri tanpa mengetahui yang kumpulan itu bakal melakukan pemberontakan.
Katanya, beliau hanya sempat berlatih silat selama beberapa bulan sebelum dibawa ke Perak dan kemudian dilatih menggunakan senjata oleh beberapa orang, termasuk ketua kumpulan itu Mohamed Amin Mohamed Razali, yang sudah menjalani hukuman gantung sampai mati.
“Saya dulu hanyalah seorang mekanik dan jurukimpal. Pengalaman menyertai kumpulan itu adalah pengalaman pahit yang takkan saya lupakan meskipun telah hampir 20 tahun berlalu, namun selepas apa yang berlaku, saya tetap bersyukur dan perlu terus positif agar dapat keluar dari sini,” katanya.
Berikutan kedudukannya sebagai banduan senior di penjara itu, Ahmad sentiasa menjadi contoh dan rujukan dalam kalangan banduan baharu malah dia merupakan pembuat perabot kayu yang mahir di situ.
Ketelitian hasil tangannya sentiasa mendapat pujian tenaga pengajar dan telah menghasilkan ratusan perabot termasuk katil, almari, cermin hiasan serta kerusi.
“Saya selalu berpesan pada pesalah baharu, terutama yang muda dan terlibat dengan dadah, supaya jangan tinggal solat. Saya kecewa apabila bila lihat mereka berulang kali masuk ke sini. Mereka masih tidak sedar betapa berharganya masih punya ibu bapa dan disayangi keluarga,” katanya.
— BERNAMA