Analisis: PKPB Bantu Pulih Ekonomi, Kebajikan Rakyat Tetap Dijaga

Analisis: PKPB Bantu Pulih Ekonomi, Kebajikan Rakyat Tetap Dijaga

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR (Bernama) — Masyarakat di negara ini menunjukkan pelbagai reaksi apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan bermula hari ini.

Bagi pihak yang terlibat dalam sektor ekonomi seperti majikan dan peniaga, langkah kerajaan itu pastinya sesuatu yang amat dinanti-nantikan dan melegakan.

Masakan tidak, selama lebih sebulan mereka terpaksa menghentikan operasi bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa sejak 18 Mac, yang bertujuan mencegah penularan wabak COVID-19.

Sebenarnya, banyak perkara yang perlu difahami oleh setiap anggota masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan PKPB.

Ini termasuk cabaran krisis COVID-19, soal kesihatan dan keselamatan yang sentiasa menjadi keutamaan.

Namun begitu, serangan pandemik ini juga tidak boleh dinafikan memberi kesan besar terhadap sektor ekonomi negara yang jika tidak ditangani segera akan memberi implikasi yang lebih buruk.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 yang disiarkan secara langsung pada 1 Mei lepas berkata, Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Menurut beliau, jumlah kerugian yang ditanggung setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion dan jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Kita ambil contoh paling mudah apabila pengusaha, majikan termasuk peniaga secara kecil-kecilan terpaksa akur menutup premis perniagaan mereka demi mematuhi arahan PKP.

Sudah tentu tiada aliran tunai keluar masuk, sumber pendapatan terjejas dan seterusnya membawa kepada ketidakmampuan untuk membayar gaji pekerja dan risiko pekerja hilang pekerjaan.

Benar kerajaan ada menyediakan ‘suntikan’ kepada setiap peringkat masyarakat dalam menghadapi krisis yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini.

Antaranya, Perdana Menteri pada 27 Mac lepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang melibatkan setiap peringkat masyarakat sebagai usaha meringankan beban rakyat dan sektor yang terkesan bagi menangani impak krisis.

Namun begitu, selama mana rakyat mampu bertahan dengan bantuan kerajaan atau mungkin wang simpanan yang semakin menyusut dari hari ke hari?

Bagaimana kelangsungan hidup mereka termasuk tanggungan serta beban hutang yang perlu dibayar, sedangkan bila tempoh pandemik ini akan berakhir masih tidak dapat dipastikan?

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata wujud kos lepas terhadap ekonomi negara kerana tindakan kerajaan yang mengutamakan keselamatan rakyat berbanding kegiatan ekonomi sebelum ini.

Namun begitu katanya, sekiranya kerajaan tidak bertindak melaksanakan PKP sejak awal (18 Mac), negara berkemungkinan besar akan menerima impak yang lebih buruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana kos untuk mengekang penularan wabak COVID-19 menjadi lebih tinggi dan memberi kesan skala besar terhadap perbelanjaan negara.

Justeru, kata beliau, langkah kerajaan melaksanakan PKPB dengan memberi kelonggaran untuk sektor tertentu kembali beroperasi, boleh membantu menggerak dan memulihkan rantaian aktiviti ekonomi domestik.

“Langkah ini dalam jangka masa pendek dapat mengembalikan ‘interaksi’ antara ejen-ejen ekonomi yang terdiri daripada pengeluar, individu, isi rumah dan kerajaan melalui transaksi pembelian barang dan perkhidmatan yang dijalankan. Ia juga dijangka akan memberi kesan positif terhadap sektor yang sebelum ini terjejas seperti perkhidmatan borong dan runcit, makanan dan minuman serta logistik.

“Sebanyak 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbangkan melalui perbelanjaan penggunaan. Kegiatan ekonomi yang berlaku secara perlahan-lahan dan berperingkat ini juga akan dapat membantu memulihkan sektor pelancongan, industri penerbangan dan beberapa sektor luar lain sekaligus membawa kepada transaksi yang lebih besar.

“Untuk jangka masa panjang pula PKPB berpotensi mewujudkan ‘had laju pusingan wang’ , yang merujuk kepada kemampuan setiap rakyat untuk berbelanja,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook 2020 menyarankan agar setiap negara perlu bersedia untuk mengekang krisis ekonomi disebabkan COVID-19 melalui dasar fiskal yang antaranya melibatkan bantuan kepada isi rumah dan perniagaan.

“Selain itu, tindakan rasional lain wajar dilaksanakan dalam memastikan rakyat tidak terus tertekan dengan kesan krisis ini. Ini termasuklah memberi respons dengan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pandangan kumpulan atau pemegang taruh yang terjejas teruk berikutan situasi yang berlaku.

“Pengaktifan semula rantaian ekonomi juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada jaminan pasaran kerja, mengurangkan risiko pengangguran serta memulihkan keyakinan pengeluar atau pengilang sendiri untuk menjadi faktor penggerak kepada sektor-sektor lain,” katanya.

Menelusuri isu ini, sebarang keputusan yang diambil dalam berhadapan krisis yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara pastinya berdepan risiko. Ia termasuklah sokongan mahupun tentangan daripada pelbagai pihak.

Kebimbangan wajar sememangnya perlu wujud dengan langkah PKPB apatah lagi krisis COVID-19 berisiko meragut nyawa dan kita masih belum ‘menang’ sepenuhnya.

Tidak hairan juga apabila ada pihak mewujudkan petisyen bagi membantah pelaksanaan PKPB.

Namun begitu, kebimbangan secara berlebihan dan tidak terkawal hanya akan mengundang kepada masalah yang lebih buruk dan sama sekali tidak membantu memperbaiki keadaan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan dalam mengharungi cabaran krisis ini, rakyat dan negara ini berada pada ‘dua persimpangan’, iaitu mahu terus pasrah dan menyerah atau kembali bangkit ‘melawan’ COVID-19!

Sekiranya rakyat memilih untuk ‘tunduk’ kepada keadaan, maka krisis ini akan terus ‘menyerang’ dan melumpuhkan sistem ekonomi, sosial, pendidikan bahkan boleh membawa kepada ketidakstabilan politik negara.

Kesempitan hidup juga akan menjadikan rakyat terdesak untuk melakukan apa sahaja termasuk menjurus kepada masalah sosial dan jenayah.

Pelaksanaan PKPB tidak bermaksud soal kesihatan dan keselamatan rakyat tidak lagi menjadi keutamaan.

PKPB juga tidak bermaksud rakyat kini bebas untuk melakukan apa sahaja aktiviti atau kegiatan malah ia jelas tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Mana-mana individu atau sektor yang gagal mematuhinya akan dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kelmarin berkata, aspek pengangkutan, perkhidmatan kesihatan dan pemerkasaan komuniti perlu diberi perhatian dalam mengawal penularan COVID-19 ketika pelaksanaan PKPB.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan pakar perundingan perubatan dari China.

Antara lain yang turut diberi penekanan ialah pematuhan SOP yang digariskan KKM terutama amalan penjarakan sosial serta beberapa amalan normal baharu yang diamalkan semasa tempoh PKP seperti penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Perlu diingat bahawa tindakan kerajaan membenarkan sektor tertentu kembali beroperasi dengan bersyarat adalah bertujuan memulihkan ekonomi negara yang pada masa yang sama tidak sesekali mengabaikan soal kesihatan dan kebajikan rakyat.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )