Amal norma baharu semasa kempen jualan harga murah

Amal norma baharu semasa kempen jualan harga murah

KAJANG,. Orang ramai dinasihatkan supaya terus membudayakan norma baharu termasuk ketika membeli-belah di pasar raya sempena promosi dan jualan harga murah yang ditawarkan untuk perayaan Krismas dan jualan akhir tahun.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hasnol Zamzam Ahmad berkata ketika ini kempen jualan daripada komuniti perniagaan sedang rancak dilaksanakan berikutan pelbagai kelonggaran yang dibenarkan kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Saya percaya ramai akan ambil peluang ini (membeli-belah) dengan sekolah yang belum dibuka dan rentas negeri telah dibenarkan. Jadi, akan ada pergerakan berkelompok yang akan memberi ruang kepada peniaga untuk membuat tawaran yang boleh menarik minat berbelanja.

Apa pun yang dilakukan haruslah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pengamalan pembudayaan norma baharu bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan bahan promosi Kempen Pembudayaan Norma Baharu kepada peruncit pada majlis di pasar raya AEON Mall Cheras Selatan, di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Mengenai Kempen Pembudayaan Norma Baharu itu, Hasnol Zamzam berkata inisiatif berkenaan adalah untuk menunjukkan keterlihatan usaha agensi kerajaan dalam memberikan kesedaran, peringatan dan pendidikan mengenai amalan pematuhan norma baharu.

“Saya mengingatkan amalan norma baharu ini bukan untuk mengekang aktiviti peniaga atau pengguna tetapi ia sebagai alat untuk membantu kita meneruskan kehidupan sama ada dalam menjaga kesihatan dan meneruskan aktiviti harian,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )