Alejandro Medina ganti Hafizh Syahrin di GP Styria

Alejandro Medina ganti Hafizh Syahrin di GP Styria

KUALA LUMPUR,. Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa melupakan hasrat untukmenyertai perlumbaan di Grand Prix (GP) Styria minggu ini, kerana masih belum pulih dari kecederaan yang dialaminya di GP Austria minggu lepas.

Menurut ciapan dalam akaun Twitter pasukan Inde Aspar Team, tempat Hafizh Syahrin digantikan dengan pelumba MotoE Aspar Team, Alejandro Medina dari Sepanyol yang akan bergandingan dengan Aron Canet pada perlumbaan hujung minggu ini di Litar Red Bull Ring.

Pelumba negara berusia 26 tahun itu terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini kerana masih belum pulih sepenuhnya, dan dijangka kembali berlumba pada GP San Marino dan Rimni di Litar Marco Simoncelli, Itali pada 13 hingga 20 Sept depan.

“Saya memang ingin mengambil bahagian dalam perlumbaan akan datang, tetapi saya masih rasa sakit kesan dari kemalangan hujung minggu lalu. Doktor juga menasihati saya supaya berehat,” katanya.

“Saya rasa semakin baik dari hari ke hari, tapi lebih penting untuk saya mengutamakan proses pemulihan terlebih dahulu,” katanya.

Hafizh Syahrin terlibat dalam kemalangan ngeri Ahad lepas selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya melintang di atas litar sebelum pelumba negara yang memecut ketika itu gagal mengelak dan merempuh motosikal pelumba Italtrans Racing Team itu.

Beliau yang dilihat terpelanting ke tepi litar, kemudiannya dibawa ke pusat perubatan litar dan hanya dilaporkan mengalami lebam di beberapa bahagian badan terutama di pinggul sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Hafizh Syahrin kini menduduki tangga ke-16 dengan mengumpul 17 mata selepas lima perlumbaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )