Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 mula berkuat kuasa hari ini – Azalina

Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 mula berkuat kuasa hari ini – Azalina

PUTRAJAYA,. Kerajaan hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 [Akta 676], akan mula berkuat kuasa hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) berkata Akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024, bertujuan memperkukuh perlindungan dan hak saksi kanak-kanak dalam sistem perundangan negara.

“Melalui pindaan ini, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 [Akta 676] kini menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Azalina berkata beberapa Akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan termasuk Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

“Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007,” katanya.

Azalina berkata ini juga termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.

Azalina berkata usaha itu juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024, adalah antara bukti nyata iltizam kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak.

“Antara perubahan utama dalam pindaan berkenaan ialah penambahan Seksyen 6A yang memperuntukkan pelantikan seorang Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak,” katanya.

Azalina berkata proses pelantikan bagi jawatan-jawatan tersebut kini sedang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Pelantikan ini akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasakan serta diberi perhatian yang sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )