AirAsia tawar lebih 16,000 tempat duduk pada tambang tetap sempena Hari Raya

AirAsia tawar lebih 16,000 tempat duduk pada tambang tetap sempena Hari Raya

SEPANG,. AirAsia menawarkan lebih 16,000 tempat duduk melalui 90 penerbangan lewat malam dengan tambang tetap antara Semenanjung Malaysia dan Sabah/Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut satu kenyataan hari ini, para tetamu boleh menempah tambang tetap pada RM328 sehala bagi penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta Johor Bahru dan Kuching serta Sibu bermula 28 Mac 2025 hingga 5 April 2025.

Sementara itu, penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, serta antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, boleh didapati dengan tambang tetap pada RM388 sehala.

Tempahan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 5 April 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.

Selain itu, AirAsia juga mengendalikan 287 penerbangan mingguan dengan tambang semasa ke Sabah, Sarawak, dan Labuan bagi menyokong inisiatif kerajaan sepanjang musim perayaan ini.

Mengulas mengenai tawaran penerbangan tersebut, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan perjalanan udara kekal mampu milik dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.

“Inisiatif seperti subsidi tambang siling RM499 serta program FLYsiswa adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengurangkan beban kewangan para penumpang, khususnya para pelajar yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Dengan kerjasama rakan industri seperti AirAsia, kami akan terus mengutamakan kebajikan rakyat dan memastikan tambang penerbangan berpatutan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Para tetamu yang akan membuat perjalanan pada musim perayaan ini digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri menggunakan aplikasi AirAsia MOVE, yang tersedia seawal 14 hari sebelum tarikh penerbangan dan menggunakan pas masuk elektronik untuk menaiki pesawat.

Para tetamu juga disarankan untuk tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan bagi memastikan semua urusan perjalanan berjalan lancar semasa tempoh puncak ini.

Untuk rekod, promosi tambang tetap yang dinyatakan adalah untuk perjalanan sehala, termasuk caj perkhidmatan penumpang, surcaj bahan api, dan fi lain yang berkaitan. Sah untuk penerbangan terpilih sahaja. Tertakluk kepada terma & syarat.

Selain itu, penerbangan dengan tambang asas kurang daripada RM499 akan dijual pada tambang semasa.

Tambang tidak boleh dikembalikan dan tertakluk kepada terma dan syarat lain.

Subsidi kerajaan untuk pembelian tiket kelas ekonomi sehala melebihi RM499 dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak, dan Labuan adalah sah empat hari sebelum Hari Raya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )