
Airasia Super App dilancarkan di Bali, Indonesia
KUALA LUMPUR,. Airasia Super App dilancarkan secara rasmi di Bali, Indonesia susulan platform perjalanan dan gaya hidup itu meluaskan kemunculannya di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Amanda Woo berkata ia mungkin tugas yang sukar bagi mereka untuk menembusi ruang aplikasi super tempatan sedia ada yang dikuasai oleh beberapa pemain utama, namun pihaknya mempunyai cadangan unik dari segi penawaran, dan pendekatan yang berbeza untuk menembusi pasaran Indonesia.
“Kami teruja untuk memulakan perjalanan airasia Super App Indonesia kami di Bali, kerana ia pastinya lokasi yang sesuai untuk menerajui pertumbuhan kami, dengan populasi lebih empat juta orang dan merupakan destinasi pulau percutian yang terkenal di dunia.
“Sebagai aplikasi super pengembaraan, kami yakin kami mampu mencipta nilai untuk pengguna kami, selain daripada kemudahan, kebolehpercayaan dan kemampuan yang dimiliki semua produk dan perkhidmatan kami dan yang akan kami perkenalkan (di sana) tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Airasia Super App ialah usaha niaga digital Capital A (dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia) dan telah dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2020. Ia seterusnya dilancarkan masing-masing di Thailand dan Filipina pada Februari dan April tahun ini.
— BERNAMA