Air Selangor kesan tompokan minyak di alur KL-Larut

SHAH ALAM,. Ops Sumber Air yang dijalankan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), mengesan satu insiden pencemaran di alur KL-Larut ke Sungai Selangor pada jam 11.20 pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) berlaku dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit.

“Siasatan menemukan kesan tompokan disyaki minyak hidraulik berhampiran sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengilangan besi.

“Bagaimanapun, kilang berkenaan sudah menghentikan operasi buat sementara waktu bermula pada 18 Mac lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siasatan di tapak juga menemukan longgokan tong minyak kosong selain mengesan kolam sisa minyak terpakai.

“LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang ‘oil-boom’ dan ‘oil-pad’ di kawasan alur terbabit bagi mengawal baki aliran minyak pada jarak 600 meter dari mengalir ke Sungai Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Air Selangor memasang ‘oil-boom’ berdekatan kawasan muka sauk Loji Rawatan Air (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3.

Selain itu, pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dalam proses menyedut sisa minyak berkenaan dengan kadar segera.

“LUAS juga sudah mengarahkan pemilik premis menyediakan penghadang minyak bagi tangki simpanan minyak diesel untuk mengurangkan risiko tumpahan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan arahan lapangan kepada pemilik premis supaya menyimpan tong minyak kosong itu di kawasan tertutup,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pensampelan dilakukan oleh LUAS dan Air Selangor serta pemantauan rapi di tapak dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama pihak terbabit bagi memastikan pencemaran terkawal dan ditangani sepenuhnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )