
Ahmad Ramdzan dilantik Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman
KUALA LUMPUR,. Ketua Penolong Pengarah E9, Cawangan Khas Datuk Ahmad Ramdzan Daud dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu menerusi pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuat kuasa esok.
Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata selain Ahmad Ramdzan, pertukaran kali ini turut melibatkan 19 lagi pegawai kanan di seluruh negara.
Beliau berkata antara yang terlibat ialah Ketua Penolong Pengarah E7, Cawangan Khas SAC Aida Abdul Hamid yang akan menggantikan jawatan Ahmad Ramdzan sebelum ini.
“Sementara Komander Pasukan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Mohd Hishamudin Tahar yang akan dilantik menjadi Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) akan diganti oleh Timbalan Komander (Operasi) Datuk Noor Sham Md Jani.
“Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (Pusat Bekalan Polis) Bahagian Fasiliti/Bekalan/ Aset Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman ACP Puspanathan Wiresingam akan menggantikan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang SAC Mohd Nasri Omar yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu lintas/ Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan semalam.
Noorsiah berkata Pegawai Turus E2B Cawangan Khas Bukit Aman ACP Johari Mohamed pula bakal menggantikan jawatan diisi Aida sebelum ini dan jawatannya pula bakal dipertanggungjawabkan kepada Supt E2B1, Cawangan Khas Supt Md Khairuddin Hussin.
“Pertukaran dari negeri juga melibatkan Ketua Cawangan Khas Selangor SAC Izan Bakri yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E3, Cawangan Khas Bukit Aman dan Pegawai Turus E1 Cawangan Khas Sabah Supt Nik Hadzrami Mat Hassan pula dilantik sebagai Pegawai Turus E3B cawangan sama di Bukit Aman.
“Selain itu, di Melaka, Timbalan Ketua Cawangan Khas, Risikan dan Operasi Supt Mohamed Mahat dilantik menjadi Ketua Cawangan dengan memangku pangkat ACP,” katanya.
Menurutnya, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah Supt Mohd Zamzuri Mohd Isa akan dilantik sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Perak manakala Ketua Polis Daerah Mersing, Johor Supt Cyril Edward Nuing @ Hillary dilantik menjadi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Siasatan/Perundangan Sabah.
— BERNAMA